Setiausaha Agong Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memecat semua menteri daripada DAP yang didakwa mempersoalkan titah diraja berkaitan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, tindakan berkenaan wajar dipertimbangkan susulan kenyataan beberapa pemimpin DAP yang menurutnya secara tidak langsung mempertikaikan keputusan berkaitan pengampunan diraja.
“Kepada menteri-menteri DAP, keluarkan semua. Ataupun kita cabar Perdana Menteri buang, bagi nasihat kepada Agong supaya pecat semua menteri-menteri daripada DAP yang mempersoalkan titah diraja dalam pengampunan ini,” katanya.
Takiyuddin turut menyindir kenyataan seorang pemimpin DAP yang sebelum ini menyatakan kesediaan meletakkan jawatan sekiranya Najib dibenarkan menjalani tahanan rumah.
“Najib sampai rumah, aku letak jawatan. Hah, engkau siapa? Kenapa engkau seorang sahaja letak jawatan?” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya tidak mempertikaikan keputusan mahkamah mahupun kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya mahu perkara berkenaan dihormati.
“Kita bukan menyokong orang yang melakukan apa-apa kesalahan. Kita tak pertikaikan keputusan mahkamah, apatah lagi kita tak pertikaikan perintah pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.
Beliau turut mengkritik pengendalian kerajaan terhadap isu Titah Adendum yang menurutnya menimbulkan kekeliruan dan persoalan mengenai ketelusan pihak berkuasa.
Takiyuddin mendakwa isu berkenaan mengambil masa lebih setahun untuk diselesaikan, selain mempersoalkan perkembangan terbaharu yang berlaku dalam tempoh beberapa hari.








