Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal mencuri perhatian selepas wisel penamat aksi final Piala Dunia 2026 apabila beliau dilihat melutut di atas padang sebelum menadah tangan memanjatkan doa sebagai tanda kesyukuran sebaik pasukannya menewaskan Argentina 1-0 untuk muncul juara dunia.
Momen penuh emosi itu tular di media sosial apabila pemain berusia 19 tahun tersebut terus melutut dan berdoa sejurus pengadil menamatkan perlawanan di Stadium MetLife, New Jersey, yang menyaksikan Sepanyol merangkul gelaran Piala Dunia kedua dalam sejarah mereka.
Yamal, yang menjadi antara tonggak utama skuad kendalian Luis de la Fuente sepanjang kejohanan, sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang pada pentas final ketika membantu La Roja menewaskan juara bertahan, Argentina.
Gol tunggal kemenangan Sepanyol hadir pada masa tambahan menerusi Ferran Torres selepas pasukan itu menguasai sebahagian besar permainan sebelum menamatkan cabaran Argentina yang beraksi dengan 10 pemain.
Baca juga:
- BKSDA Kalimantan Barat sahkan kematian Orang Utan
- Orang utan pengsan akibat asap kebakaran hutan diselamatkan di Kalimantan Barat
- Polis Jeju didakwa palsukan penutupan kes orang hilang
Sepanjang kejohanan, Yamal muncul sebagai antara pemain paling menyerlah dunia menerusi kelincahan, kreativiti serta sumbangannya dalam membantu Sepanyol mara sehingga bergelar juara, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai salah seorang bintang generasi baharu bola sepak antarabangsa.
Rakaman beliau memanjatkan doa selepas tamat perlawanan turut menerima pujian ramai penyokong yang menyifatkan tindakan itu sebagai lambang kesyukuran atas kejayaan bersejarah yang diraih Sepanyol di pentas Piala Dunia.
Untuk rekod, Lamine Yamal (19 tahun 6 hari) menjadi pemain ketiga termuda beraksi dalam final Piala Dunia. Di hadapannya ialah Pelé (17 tahun 249 hari) dan Giuseppe Bergomi (18 tahun 201 hari).








