Prabowo setuju terima bantuan Malaysia padam kebakaran hutan di Indonesia | The Reporter

Prabowo setuju terima bantuan Malaysia padam kebakaran hutan di Indonesia

Presiden Indonesia Prabowo Subianto bersetuju menerima bantuan Malaysia bagi menangani kebakaran hutan di Indonesia.
Tangkap layar video tular memaparkan kebakaran hutan di Indonesia.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dilaporkan telah memberikan persetujuan untuk menerima bantuan daripada negara jiran termasuk Malaysia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang melanda beberapa wilayah di negara itu.

Menurut laporan ANTARA Indonesia, perkara tersebut disahkan Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir yang memaklumkan bahawa mekanisme pelaksanaan bantuan kini sedang dibincangkan di peringkat teknikal oleh Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB).

“Perkara itu sudah dibincangkan dan kini sedang dalam proses. Seperti yang kita ketahui, Presiden juga telah memberikan persetujuannya,” katanya.

Arrmanatha berkata, Prabowo memberikan perhatian serius terhadap usaha menangani kebakaran hutan berikutan kesannya yang meluas, termasuk kepada negara jiran.

Setakat 13 Oktober lalu, Indonesia telah mengerahkan seramai 60,177 anggota terdiri daripada pasukan bomba, tentera, polis, pegawai perhutanan dan sukarelawan bagi mengawal kebakaran di kawasan terjejas.

Operasi pemadaman turut melibatkan penggunaan pesawat dan helikopter untuk melaksanakan pengeboman air dari udara serta operasi pengubahsuaian cuaca.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menawarkan bantuan sebuah pesawat, tiga helikopter dan 52 anggota pemadam kebakaran ketika mengadakan pertemuan dengan Prabowo di Hambalang, Bogor pada 18 September lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Indonesia pada Rabu memaklumkan bahawa pihaknya masih berhubung dengan Malaysia bagi membincangkan keperluan operasi, penghantaran anggota dan sokongan logistik sebelum bantuan dilaksanakan.

Isu kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan turut mendapat perhatian Malaysia susulan pencemaran jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara serta menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan penduduk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menghubungi Prabowo bagi membincangkan langkah menangani kebakaran dan jerebu, selain menyatakan kesediaan Malaysia untuk memberikan kerjasama.

Related Posts