Kontroversi peraturan pakaian sekolah di Azerbaijan semakin mendapat perhatian selepas beberapa pelajar perempuan dilaporkan dihalang menghadiri kelas kerana memakai hijab, sekali gus mencetuskan bantahan sehingga membawa kepada penahanan puluhan individu.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa apabila pelajar lelaki dilaporkan enggan menghadiri kelas sebagai tanda solidariti terhadap rakan perempuan mereka yang terjejas.
Menurut laporan Reuters, parti pemerintah Azerbaijan mempertahankan pelaksanaan peraturan pakaian seragam sekolah susulan pertikaian berhubung pemakaian hijab yang mencetuskan reaksi pelbagai pihak.
Peraturan itu dikaitkan dengan dasar pendidikan sekular negara berkenaan, namun pelaksanaannya menimbulkan persoalan mengenai hak pelajar untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.
37 ditahan buat bantahan
Seramai 37 individu dilaporkan ditahan susulan bantahan berkaitan isu tersebut, yang turut mendapat perhatian pihak luar termasuk dari Turkiye.
Menurut laporan Meduza, peraturan yang diluluskan pada 21 September lalu melarang pemakaian pakaian yang tidak menepati keseragaman sekolah atau bercanggah dengan prinsip pendidikan sekular.
Walaupun peraturan itu tidak menyebut larangan hijab secara khusus, pemeriksaan di sekolah sejak 9 Oktober menyaksikan beberapa pelajar perempuan berhijab dihalang memasuki kelas, manakala tenaga pengajar wanita turut dilaporkan diminta menanggalkan tudung.
Bantahan kemudian tercetus di ibu negara Baku dan beberapa bandar lain, dengan sebahagian pelajar menuntut supaya hak pendidikan rakan mereka dihormati tanpa mengira cara berpakaian.
Kementerian Dalam Negeri Azerbaijan memaklumkan bahawa 37 individu ditahan pada 12 Oktober kerana disyaki mengganggu ketenteraman awam, termasuk mencetuskan konflik dengan kakitangan sekolah dan merosakkan kemudahan pendidikan.
Pihak berkuasa turut membuka siasatan jenayah berhubung tindakan yang didakwa mengganggu ketenteraman awam, dengan kesalahan berkenaan boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Ketegangan diplomatik
Sementara itu, kontroversi tersebut turut mencetuskan ketegangan diplomatik apabila penasihat Presiden Turkiye, Oktay Saral, mengkritik tindakan menghalang pelajar berhijab daripada mendapatkan pendidikan.
Bagaimanapun, parti pemerintah Azerbaijan, Yeni Azerbaijan Party (YAP), menolak kritikan berkenaan sambil menegaskan bahawa peraturan sekolah dilaksanakan berasaskan prinsip kesaksamaan, sekularisme dan kedaulatan undang-undang.
Azerbaijan yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam merupakan sebuah negara sekular yang memisahkan urusan agama daripada pentadbiran negara, namun peraturan terbaharu itu terus mencetuskan perdebatan mengenai kebebasan beragama dan hak mendapatkan pendidikan.








