Seorang lelaki maut selepas dibaham seekor harimau apabila memasuki kandang haiwan berkenaan di Yorkshire Wildlife Park, dekat Doncaster, England, pada Sabtu lalu.
Menurut laporan BBC dan Sky News, kejadian berlaku kira-kira jam 1.35 tengah hari waktu tempatan apabila pihak berkuasa menerima laporan mengenai seorang lelaki yang berada di dalam kandang harimau di taman hidupan liar tersebut.
Polis South Yorkshire dalam kenyataan memaklumkan, mangsa mengalami kecederaan serius selepas diserang haiwan berkenaan sebelum pasukan kecemasan dikejarkan ke lokasi kejadian.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian meskipun petugas perubatan berusaha menyelamatkannya.
Susulan kejadian itu, pihak pengurusan taman mengarahkan semua pengunjung mengosongkan kawasan berkenaan bagi membolehkan pasukan keselamatan menjalankan siasatan.
Beberapa rakaman video turut tersebar di media sosial menunjukkan mangsa berada berhampiran seekor harimau sebelum diserang.
Malah, satu rakaman turut dipercayai memperdengarkan suara lelaki berkenaan meminta orang ramai mengambil gambarnya bersama haiwan tersebut sebelum kejadian berlaku.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum menjelaskan bagaimana mangsa boleh memasuki kandang berkenaan.
Sementara itu, pihak pengurusan Yorkshire Wildlife Park mengesahkan harimau spesies Amur yang dikenali sebagai Altai berada dalam keadaan selamat dan tidak akan dimatikan susulan kejadian berkenaan.
Pihak pengurusan turut memaklumkan kakitangannya yang terkesan akibat insiden itu diberikan sokongan khusus, manakala taman berkenaan ditutup sementara pada Ahad.








