Bajet 2027: Puad gesa tubuh badan khas pantau perbelanjaan kementerian | The Reporter

Bajet 2027: Puad gesa tubuh badan khas pantau perbelanjaan kementerian

Beliau gesa badan khas ditubuhkan bagi mengelakkan isu perbelanjaan berlebihan kementerian berulang lagi
Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi

Kerajaan digesa menubuhkan sebuah badan khas bagi memantau perbelanjaan pembangunan setiap kementerian supaya masalah perbelanjaan berlebihan atau peruntukan tidak digunakan sepenuhnya dapat ditangani.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, langkah itu penting bagi memastikan peruntukan kerajaan diurus dengan lebih berkesan.

Beliau juga merujuk kepada dakwaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebelum ini yang berbelanja melebihi peruntukan sebanyak RM2.1 bilion sehingga menyebabkan ramai kontraktor belum menerima bayaran walaupun kerja telah disiapkan.

“Kerajaan perlu menubuhkan satu badan khas memantau perbelanjaan pembangunan setiap kementerian agar tidak berulang kes kementerian berbelanja lebih,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam masa sama, Mohd Puad berkata, badan berkenaan juga perlu memantau kementerian yang gagal menggunakan sepenuhnya peruntukan sehingga terdapat lebihan wang dipulangkan kepada Perbendaharaan pada penghujung tahun.

Pengalaman ketika di KPM

Beliau turut berkongsi pengalamannya ketika berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) apabila dimaklumkan dalam satu mesyuarat pasca Kabinet bahawa sejumlah besar peruntukan kementerian itu telah dipulangkan kerana tidak dibelanjakan.

Katanya, perkara tersebut menimbulkan persoalan memandangkan beliau sering menerima aduan mengenai kekurangan peruntukan untuk menaik taraf sekolah daif, khususnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Dulu saya sering melawat sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak. Tapi dukacita kerana sering dimaklumkan bajet tidak mencukupi untuk naik taraf sekolah-sekolah daif.

“Tiba-tiba ada pula duit dipulangkan kerana tidak dibelanjakan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Puad mempersoalkan sama ada keadaan berkenaan berpunca daripada masalah birokrasi, kelemahan sistem maklumat atau sikap segelintir pegawai dalam kementerian.

Beliau berpandangan isu berkaitan pengurusan dan penggunaan peruntukan kerajaan perlu diberi perhatian dalam Bajet 2027 bagi memastikan dana yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Related Posts