Keluarga kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, menuntut keadilan ditegakkan susulan kejadian yang meragut nyawa anak kecil itu.
Mangsa, Asiah binti Ahmad Syahir, dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala selepas kereta Perodua Bezza dinaikinya terbabit dalam kemalangan ketika melalui jalan berkenaan dari arah pusat bandar menuju ke Segambut.
Menerusi satu perkongsian, ahli keluarga memaklumkan urusan pengebumian Allahyarhamah Asiah sudah selesai dan berharap pihak yang bertanggungjawab terhadap kemalangan itu dibawa ke muka pengadilan.
“Alhamdulillah, tengah hari tadi dah selesai pengurusan jenazah adik Asiah. Sekarang pihak keluarga menuntut keadilan ditegakkan, pelaku harus dibicarakan atas ketidaktanggungjawaban yang dilakukan,” menurut perkongsian berkenaan.
Pemandu dikesan
Dalam perkembangan sama, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa mengesahkan polis berjaya mengesan pemandu BYD Seal yang dilaporkan meninggalkan lokasi selepas kemalangan berlaku.
Menurutnya, pemandu lelaki berusia 24 tahun itu sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Damansara akibat kecederaan gegaran otak.
“Suspek kini masih dalam pemantauan pegawai penyiasat dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas kejadian itu, Mohd Zamzuri berkata, siasatan awal mendapati Perodua Bezza dipandu bapa mangsa berusia 30 tahun dilanggar dari belakang oleh BYD Seal ketika aliran trafik bergerak perlahan.
Rempuhan itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain, iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian
Akibat kejadian, Asiah yang berada di tempat duduk penumpang belakang disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Bapa mangsa pula mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun mengalami kecederaan di kepala. Kedua-duanya menerima rawatan di HKL.
Tiga lagi individu yang terbabit dalam kemalangan berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa menerusi satu hantaran di media sosial.
Beliau berkata, rakaman yang tular didakwa menunjukkan sebuah kenderaan terbabit beredar dari lokasi selepas pelanggaran berlaku.
“Saya percaya pihak polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas.
“Semoga keadilan buat adik Asiah dapat ditegakkan dan keluarganya diberikan kekuatan serta ketabahan. Salam takziah. Al-Fatihah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sumber: Buletin TV3, Threads aqif.afifi








