JPJ gantung sementara kelulusan Chery Omoda 5 susulan insiden tular | The Reporter

JPJ gantung sementara kelulusan Chery Omoda 5 susulan insiden tular

Kenyataan rasmi JPJ berhubung penggantungan sementara kelulusan jenis kenderaan Chery Omoda 5 atas faktor keselamatan.
JPJ menggantung sementara kelulusan jenis kenderaan (VTA) Chery Omoda 5 susulan insiden tular di Johor Bahru.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi Chery Omoda 5 susulan insiden tular membabitkan model berkenaan di Johor Bahru, minggu lalu.

JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil sebagai langkah pencegahan awal berikutan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan kenderaan terbabit.

Menurut jabatan itu, penggantungan berkenaan turut menyebabkan pendaftaran baharu Chery Omoda 5 ditangguhkan sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan dapat dikenal pasti.

“Tindakan ini akan dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian yang berpotensi terlibat,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Chery Malaysia diarahkan mengenal pasti semua unit kenderaan yang berpotensi terjejas berdasarkan nombor komponen, kelompok pengeluaran, nombor casis serta maklumat teknikal berkaitan.

JPJ turut mengarahkan pelaksanaan pemanggilan semula terhadap semua kenderaan yang dikenal pasti berisiko bagi membolehkan pemeriksaan dan tindakan pembetulan dilakukan.

Audit teknikal

Dalam pada itu, JPJ akan menjalankan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan Chery Omoda 5, termasuk pembekal komponen gandar yang berkaitan.

Audit berkenaan merangkumi aspek kawalan kualiti, pematuhan amalan pengilangan yang baik, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan serta tahap keselamatan komponen yang digunakan.

JPJ menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

“Pengeluar bertanggungjawab memastikan setiap kenderaan yang dipasarkan memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Tambah jabatan berkenaan, penggantungan hanya akan ditarik balik selepas semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya.

Keputusan itu juga tertakluk kepada pengesahan teknikal JPJ bahawa segala risiko keselamatan telah ditangani dengan sewajarnya.

Related Posts