Pelawak Shahrol Shiro dilantik sebagai pengajar sambilan bagi kursus Citra Universiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
UKM dalam satu kenyataan memaklumkan, Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi akan mengendalikan Kelas Seni Lakon di bawah Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC), dengan pengkhususan dalam bidang stand-up comedy.
Bagaimanapun, skop tugas beliau hanya melibatkan latihan amali dan praktikal bersama pelajar serta tidak merangkumi pengajaran di dalam kuliah.
Menurut UKM, pelantikan tersebut dibuat berdasarkan pengalaman Shahrol sebagai pengamal industri seni yang mempunyai penglibatan dalam pelbagai bidang termasuk lakonan, persembahan, komedi, pengacaraan dan produksi.
“Kursus Citra UKM (Seni Lakon) merupakan kursus di bawah Citra Kebudayaan yang ditawarkan kepada pelajar UKM bagi memberikan pendedahan dan pengalaman dalam bidang seni persembahan, khususnya aspek asas lakonan dan persembahan,” katanya.
Baca juga:
- ‘Shahrol Shiro dilantik sebagai pengajar sambilan kursus Citra Universiti’ – UKM
- Polis Sabah nasihat konsert penyanyi AS tidak diadakan buat masa ini
- Bella kongsi keadaan Syed Saddiq selepas terima berita pemergian Tun Dr Siti Hasmah
Sementara itu, FPSC merupakan fakulti yang memberi tumpuan kepada pengajian transdisiplin merangkumi pengajian umum, termasuk kursus berkaitan kebudayaan, sukan dan badan beruniform.
Terdahulu, Shahrol menerusi satu hantaran di media sosial memaklumkan beliau menerima tawaran sebagai salah seorang tenaga pengajar bagi Kursus Citra Universiti untuk sesi 2026/2027.
Bagaimanapun, perkongsian tersebut mengundang persoalan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai kelayakan beliau untuk menggalas peranan berkenaan.









