Usia 81 tahun bukan penghalang, warga emas berjaya genggam PhD | The Reporter

Usia 81 tahun bukan penghalang, warga emas berjaya genggam PhD

Dr. Abdul Ghani Muhammad berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada usia 81 tahun di Universiti Malaysia Kelantan.
Dr. Abdul Ghani Muhammad berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada usia 81 tahun di Universiti Malaysia Kelantan. Gambar: Tangkap layer video Facebook UMK.

Usia yang semakin lanjut serta pelbagai masalah kesihatan tidak mematahkan semangat seorang warga emas berusia 81 tahun untuk merealisasikan impiannya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang disimpan sejak di bangku sekolah menengah.

Memetik temu bual yang dikongsikan UMK, Dr. Abdul Ghani Muhammad membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menuntut ilmu apabila berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), meskipun terpaksa berdepan pelbagai cabaran sepanjang menyiapkan tesis.

Menurutnya, kejayaan tersebut memberikan kegembiraan dan kepuasan yang sukar digambarkan selepas sekian lama menyimpan hasrat untuk memiliki kelayakan akademik tertinggi itu.

“Saya rasa amat gembira dan bahagia kerana dapat ijazah PhD pada usia yang begini lanjut kerana saya telah lama bertekad ataupun berazam untuk mendapatkan ijazah PhD ini sejak di bangku sekolah menengah lagi,” katanya menerusi temu bual bersama pihak UMK.

Diuji masalah kesihatan

Mengimbas cabaran sepanjang pengajian, Abdul Ghani berkata, masalah kesihatan menjadi antara dugaan terbesar apabila beliau terpaksa menjalani beberapa pembedahan mata sehingga tidak dapat membaca dalam tempoh tertentu.

Selain itu, beliau turut berdepan masalah prostat dan artritis yang menyebabkan kesakitan pada beberapa bahagian badan, termasuk kaki, punggung serta otot setiap kali duduk terlalu lama di hadapan komputer.

Keadaan menjadi lebih mencabar apabila faktor usia turut menjejaskan daya ingatan dan keupayaan berfikirnya yang tidak lagi sekuat dahulu.

Kunci utama capai kejayaan

Bagaimanapun, Abdul Ghani menegaskan bahawa semangat dan keazaman menjadi kunci utama untuk seseorang mencapai cita-cita walaupun terpaksa menempuh pelbagai kesukaran.

“Sebenarnya belajar ini bergantung kepada semangat dan tekad kita. Kalau kita ada tekad, ada semangat, walaupun susah, kita akan hadapi.

“Kalau kita tak ada semangat, tak ada tekad, sampai bila pun kita tak akan selesai, tak akan capai apa yang kita cita-citakan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada isterinya yang banyak berkorban sepanjang tempoh pengajian, termasuk menguruskan hal rumah tangga ketika beliau memberikan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.

Tidak dilupakan, anak-anak serta cucunya yang sentiasa membantu terutama dalam urusan penggunaan komputer, teknologi digital dan internet yang menjadi antara cabaran pada usia lanjut.

Related Posts