Polis nafi dakwaan 400 Rohingya menetap di Kampung Melayu Kluang | The Reporter

Polis nafi dakwaan 400 Rohingya menetap di Kampung Melayu Kluang

Gambar hiasan kawasan perumahan bagi laporan polis nafi dakwaan 400 Rohingya menetap di Kampung Melayu Kluang.
Gambar: Malaysia Gazette

Polis menafikan dakwaan kononnya seramai 300 hingga 400 etnik Rohingya menetap secara berkelompok di beberapa kawasan perumahan di Kampung Melayu, Kluang, Johor seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, hasil siasatan mendapati jumlah sebenar etnik Rohingya yang menyewa kediaman di kawasan berkenaan dianggarkan hanya sekitar 60 orang.

Menurutnya, dakwaan mengenai kehadiran sehingga 400 etnik Rohingya di kawasan tersebut adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan jumlah sebenar penghuni.

“Setakat ini, pihak polis belum menerima sebarang laporan berkaitan gangguan yang ditimbulkan oleh etnik Rohingya di kawasan tersebut.

“Keadaan melibatkan komuniti Rohingya di daerah Kluang juga masih berada dalam keadaan terkawal dan rata-rata mereka hanya menumpukan urusan kelangsungan hidup,” katanya dalam kenyataan media bertarikh 1 November 2026.

Kenyataan media Polis Kluang

Terdahulu, satu hantaran yang tular di Facebook pada 30 Oktober lalu mendakwa komuniti Rohingya semakin ramai menetap di beberapa lorong perumahan di Kampung Melayu, termasuk di Jalan Orked dan Jalan Dahlia.

Mengulas lanjut, Bahrin berkata, pihak polis memandang serius penyebaran kenyataan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana berpotensi menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, mengambil tindakan sendiri atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan komuniti berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berkaitan isu tersebut boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-778 4222.

Related Posts