Lambaian terakhir buat jenazah ibu ayah, tangisan dua beradik undang sebak | The Reporter

Lambaian terakhir buat jenazah ibu ayah, tangisan dua beradik undang sebak

Dua beradik terselamat dalam nahas lori hempap MPV yang meragut nyawa ibu bapa mereka di Batu Pahat.
Gambar tular memaparkan dua beradik beradik terselamat dalam nahas lori hempap MPV yang meragut nyawa ibu bapa mereka di Batu Pahat.

Hati siapa yang tidak tersentuh melihat dua beradik yang masih kecil terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya kepada ibu bapa tersayang selepas kedua-duanya maut dalam nahas tragis membabitkan sebuah lori muatan pasir.

Lebih memilukan, Muhammad Adam, 8, dan kakaknya, Hasya Fahira Zulkifli, 11, yang turut cedera dalam kemalangan itu hanya mampu memberikan penghormatan terakhir kepada ibu bapa mereka dalam keadaan berkerusi roda.

Suasana pilu menyelubungi Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) apabila kedua-dua beradik itu dibawa turun dari wad dengan bantuan dua jururawat untuk menatap wajah terakhir Mohd Hardi Mohd Husin, 46, dan isterinya, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44.

Namun, detik paling menyayat hati berlaku apabila kedua-dua beradik itu melambaikan tangan sambil berlinangan air mata ketika van membawa jenazah ibu bapa mereka mula meninggalkan kawasan hospital.

Lambaian terakhir dua anak kecil yang kini bergelar yatim piatu itu turut mengundang sebak dua jururawat yang menemani mereka sehingga masing-masing dilihat mengesat air mata.

Tragedi yang meragut nyawa ibu bapa mereka berlaku di Jalan Yong Peng-Muar, berhampiran Parit Yaani, Batu Pahat, apabila sebuah lori membawa muatan pasir terbabas sebelum menghempap kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki keluarga berkenaan.

Lori terbabit dipercayai hilang kawalan akibat tayar pecah sebelum menghempap MPV berkenaan sehingga mengorbankan Mohd Hardi dan Tengku Syafirana.

Bagaimanapun, kedua-dua anak pasangan itu terselamat, namun mengalami kecederaan di kepala selain luka dan melecur pada bahagian kaki.

Muhammad Adam dan Hasya Fahira kemudian menerima rawatan di HSNI susulan kecederaan dialami dalam nahas berkenaan.

Sementara itu, jenazah pasangan suami isteri tersebut selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Parit Maimon, Parit Sulong, kira-kira pukul 11.45 malam.

Sumber: Harian Metro, This is Johor

Related Posts