Lembaga Peperiksaan (LP) menafikan dakwaan berlaku kebocoran soalan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (UBBI) bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 seperti yang tular di media sosial.
LP dalam satu kenyataan menjelaskan, hasil penelitian mendapati maklumat yang tersebar sebenarnya merupakan senarai tema umum dan ramalan berdasarkan kandungan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).
Menurutnya, persamaan tema atau kata kunci yang dikongsikan dengan instrumen peperiksaan sebenar tidak boleh dijadikan bukti bahawa berlaku kebocoran soalan.
LP turut menegaskan bahawa proses penyediaan dan pengendalian instrumen peperiksaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Penyediaan dan pengendalian instrumen peperiksaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan mematuhi aspek keselamatan dan kerahsiaan selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan kesahihannya sehingga boleh menimbulkan kekeliruan.
Dalam masa sama, calon SPM 2026 dinasihatkan agar kekal tenang dan memberikan sepenuh tumpuan terhadap peperiksaan yang sedang berlangsung.
LP turut memberi jaminan bahawa pihaknya kekal komited dalam memastikan keselamatan, kerahsiaan dan integriti peperiksaan SPM 2026 terus terpelihara demi menjamin keadilan kepada semua calon.








