Tular di media sosial hari ini video menunjukkan seorang remaja lelaki dibelasah secara beramai-ramai oleh sekumpulan remaja sebaya dengannya yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.
Menurut maklumat awal, kejadian itu membabitkan pelajar di sebuah sekolah di Gombak dan ada beberapa suspek mendakwa mereka mempunyai ‘cable’ dan kebal daripada tindakan undang-undang.
Berdasarkan video, mangsa terdahulu dipaksa berlawan dengan salah seorang suspek. Bagaimanapun keadaan menjadi tidak terkawal selepas rakan-rakan suspek yang lain campur tangan menyebabkan mangsa dibelasah tanpa belas kasihan.
Turut kedengaran dalam video itu, suspek mendakwa mangsa tidak sedar diri dan tidak menghormati mereka.
Sementara itu kakak mangsa, Maisarah Mazlan dalam kenyataan awalnya di Instagram berkata, “Make sure korang ready jelah esok aku sampai sekolah. Pukul adik aku camtu paling hebat lah tu?!
“Make sure korang tengok adik-adik korang, kutip awal-awal,” katanya.
Video tular itu mengundang rasa tidak puas hati banyak pihak dan netizen yang menggesa pihak berkuasa segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan remaja terbabit.
“Spender pun mak ayah yang tolong belikan lagi dik. Ada hati nak berlawan bertumbuk macam gangster. Aduhai.. Saya titipkan doa buat kita semua yang membaca ini supaya anak-anak kita terhindar daripada situasi sebegini. Amin,” komen Aida Hebat.
“Haramkan siri High Council ni. Tak semua ada sekolah ada kes buli, seolah macam bagi idea pula pada budak-budak sekolah mesti ada pembuli dan mangsa buli,” komen Qineyusof.
“Tangkap dan masukkan ke sekolah juvana terus! Mak bapak tak payah nak acah-acah kesian anak musibat korang kena hantar sana. Ya Allah, jauhkanlah keturunan aku dari jadi manusia-manusia macam ni,” komen Nur Atiqah.








