Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengkritik tindakan Menteri Keselamatan Israel berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir, yang memuat naik video menunjukkan beliau mengejek aktivis Global Sumud Flotilla yang ditahan, dengan menyatakan tindakan tersebut tidak mencerminkan nilai dan norma Israel.
Netanyahu menegaskan bahawa walaupun Israel berhak menghalang aktivis yang dianggap provokatif daripada memasuki perairannya dan menuju ke Gaza, cara Ben-Gvir mengendalikan situasi itu adalah tidak wajar.
Beliau turut mengarahkan pihak berkuasa berkaitan supaya menghantar pulang semua aktivis yang ditahan ‘secepat mungkin’ selepas insiden tersebut mencetuskan perhatian dan kritikan antarabangsa.
Baca juga:
- 428 aktivis Global Sumud Flotilla termasuk 29 rakyat Malaysia dibebaskan

- MCMC keluar tuntutan statutori terhadap TikTok isu kandungan hina Institusi Diraja

- Dua lelaki maut tertimbus runtuhan tebing tanah ketika lombong emas di Jeli

Kritikan tercetus selepas Ben-Gvir memuat naik video menunjukkan kira-kira 430 aktivis ditahan, dengan sebahagian mereka dilihat bergari dan berada dalam keadaan tertiarap, sambil beliau mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan mereka dan menggesa agar mereka dipenjarakan dalam tempoh lama.
Tindakannya turut dikritik oleh Menteri Luar Israel Gideon Saar yang menyifatkan tindakan itu memalukan negara, namun Ben-Gvir membalas dengan tuduhan bahawa Saar ‘tunduk kepada pengganas’ dan menganggap sebarang permohonan maaf sebagai tanda kelemahan.
Dalam masa sama, kumpulan hak asasi Adalah mendakwa berlaku penderaan dan penghinaan terhadap tahanan, termasuk laporan aktivis cedera akibat peluru getah, manakala beberapa kerajaan luar termasuk Britain, Kanada, Turki dan Greece mengecam tindakan Israel serta menuntut penjelasan.
Kapal Flotilla yang berlepas dari Turki minggu lalu dipintas oleh tentera Israel kira-kira 268 kilometer dari Gaza, dengan Israel menegaskan tiada peluru hidup digunakan dan semua aktivis akan dihantar pulang selepas proses undang-undang selesai.
Sumber: AP, X











