Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan Tuntutan Statutori terhadap TikTok susulan kegagalan platform media sosial itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan menghina Institusi Diraja.
MCMC dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan tindakan itu dibuat selepas penularan kandungan dikaitkan dengan satu akaun palsu yang kononnya berkaitan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut MCMC, kandungan terbabit mengandungi kenyataan jelik melampau, palsu, mengancam dan bersifat menghina selain turut menggunakan video dijana kecerdasan buatan (AI) serta imej dimanipulasi.
Katanya, kandungan berkenaan berkemungkinan melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) selain undang-undang jenayah lain di Malaysia.
“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian bagi menyebarkan kandungan jelik melampau, palsu, berunsur ancaman atau memudaratkan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
“Perkara ini tergolong dalam konteks 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja yang amat sensitif serta boleh menjejaskan ketenteraman awam, keharmonian negara dan penghormatan terhadap Institusi Perlembagaan,” menurut kenyataan itu.
Baca juga:
- 428 aktivis Global Sumud Flotilla termasuk 29 rakyat Malaysia dibebaskan
- MCMC keluar tuntutan statutori terhadap TikTok isu kandungan hina Institusi Diraja
- Dua lelaki maut tertimbus runtuhan tebing tanah ketika lombong emas di Jeli
Tuntutan Statuari
MCMC berkata, walaupun makluman dan libat urus terdahulu sudah dilaksanakan, respons TikTok dalam menangani kandungan terbabit didapati tidak memuaskan terutama dalam memastikan kandungan diturunkan segera serta menghalang penyebaran lanjut.
Menurutnya, sebagai penyedia perkhidmatan media sosial di Malaysia, platform terbabit mempunyai tanggungjawab lebih tinggi untuk memastikan perkhidmatan mereka tidak dieksploitasi bagi aktiviti menyalahi undang-undang dan memudaratkan.
Pengeluaran Tuntutan Statutori itu turut menghendaki TikTok melaksanakan langkah pembetulan segera termasuk memperkukuhkan mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan.
Penguatkuasaan lebih berkesan
Selain itu, TikTok juga dikehendaki memastikan penguatkuasaan lebih berkesan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia dan garis panduan komuniti platform selain memberikan penjelasan rasmi berhubung kegagalan menangani kandungan berkenaan.
MCMC menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan kawal selia dan undang-undang yang perlu terhadap mana-mana penyalahgunaan platform dalam talian yang boleh mengancam ketenteraman awam khususnya melibatkan sensitiviti 3R.
“MCMC akan terus mengambil tindakan tegas dan setimpal yang perlu bagi memastikan platform digital yang beroperasi di Malaysia melaksanakan tanggungjawab mereka dalam mengekalkan persekitaran dalam talian yang berhemah, selamat dan terjamin,” jelasnya.









