Dakwaan pencerobohan tanah di Kajang, ADN gesa pihak berkuasa jalankan pemeriksaan | The Reporter

Dakwaan pencerobohan tanah di Kajang, ADN gesa pihak berkuasa jalankan pemeriksaan

Kawasan berbukit di Kajang yang didakwa dijadikan lokasi aktiviti sukan oleh sekumpulan warga asing.
David Cheong menggesa pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan terhadap kawasan berbukit di Kajang yang didakwa dijadikan lokasi aktiviti sukan oleh sekumpulan warga asing. Gambar suntingan AI daripada tangkapan layar video tular.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong menggesa pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan susulan dakwaan sekumpulan warga asing membersihkan kawasan berbukit di Kajang dan menjadikannya sebagai lokasi riadah serta aktiviti sukan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, kawasan tanah berkenaan merupakan milik sebuah syarikat dan bukannya tanah kerajaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang penggunaan tanah, kerja pembersihan kawasan atau pembinaan struktur perlu mendapat kebenaran pemilik tanah serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Saya memandang serius kebimbangan masyarakat bahawa penggunaan tanah tanpa kawalan boleh berkembang daripada kawasan lapang kepada pembinaan struktur sementara dan akhirnya menjadi penempatan tidak terancang,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sehubungan itu, David menggesa Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan pemeriksaan mengikut bidang kuasa masing-masing bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional MPN Keadilan Selangor berkata, pihaknya tidak menolak kehadiran warga asing yang berada di Malaysia secara sah, namun setiap individu wajib menghormati undang-undang negara dan hak pemilik tanah tanpa mengira kewarganegaraan.

“Sebarang dakwaan pencerobohan mesti disiasat berdasarkan fakta, bukan sekadar persepsi atau sentimen,” tegasnya.

Terdahulu, tular video memaparkan kewujudan padang bola sepak dan gelanggang sepak takraw di kawasan berbukit yang didakwa digunakan oleh sekumpulan warga asing, sekali gus mencetuskan persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai status dan kebenaran penggunaan tanah berkenaan.

Related Posts