Video tular dedah padang bola sepak atas bukit didakwa digunakan warga Myanmar | The Reporter

Video tular dedah padang bola sepak atas bukit didakwa digunakan warga Myanmar

Kawasan padang bola sepak dan gelanggang sukan di atas bukit yang didakwa digunakan warga Myanmar seperti dipaparkan dalam video tular.
Kawasan padang bola sepak dan gelanggang sukan di atas bukit yang didakwa digunakan warga Myanmar seperti dipaparkan dalam video tular Harmony Community Malaysia.

Sebuah video tular memaparkan kewujudan padang bola sepak, gelanggang bola tampar dan sepak takraw di atas sebuah bukit yang dikelilingi kawasan hutan, dipercayai digunakan oleh sekumpulan warga Myanmar.

Perkara itu didedahkan menerusi hantaran akaun media sosial Harmony Community Malaysia yang memaparkan dua individu meninjau kawasan berbukit berkenaan sebelum menemui beberapa kemudahan sukan di bahagian puncaknya.

Menerusi rakaman tersebut, salah seorang individu meluahkan rasa hairan apabila melihat kawasan di atas bukit itu yang kelihatan telah diratakan sehingga membentuk kawasan lapang yang luas.

“Kat atas tu ada padang bola sepak, lepas tu bola tampar, lepas tu takraw. Korang tengok, ni atas ni bukit tau. Kawasan ni semua hutan.

“Cuba korang bayangkan macam mana dia orang boleh ratakan bukit ni,” katanya dalam video berkenaan.

Kawasan berbukit

Individu berkenaan turut menyamakan keadaan laluan tersebut dengan kawasan latihan ketenteraan berikutan kawasan bukit yang curam dan licin.

“Macam base tentera. Tak tahu macam mana dia orang buat. Kreatif tau. Ada tali. Hati-hati weh, ini kalau jatuh ni.

“Dia orang ni memang training baguslah. Naik laju, turun laju,” ujarnya.

Setibanya di kawasan lapang di atas bukit, individu tersebut sekali lagi menunjukkan keluasan kawasan berkenaan yang mempunyai padang bola sepak, selain gelanggang bola tampar dan sepak takraw.

Dalam rakaman sama, seorang individu turut ditanya mengenai kewarganegaraan mereka yang berada di kawasan tersebut sebelum menjawab bahawa semuanya merupakan warga Myanmar.

Sementara itu, menerusi kapsyen hantaran berkenaan, Harmony Community Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap kewujudan kawasan yang didakwa menjadi tumpuan warga asing sekiranya perkara tersebut tidak diberikan perhatian sejak awal.

Akaun itu turut membandingkan situasi berkenaan dengan Pasar Borong Selayang yang didakwanya kini menjadi tumpuan warga Myanmar dan Bangladesh.

“Rakyat Malaysia tidak mahu terjadi seperti Pasar Borong Selayang, yang pada awalnya hanyalah pasar, tetapi sekarang dah menjadi ibarat pasar warga Myanmar dan Bangladesh.

“Jangan normalisasi perkara yang awalnya kita boleh bendung dari awal sebelum menjadi tidak terkawal,” menurut kapsyen hantaran tersebut.

Related Posts