Lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditahan polis selepas pemeriksaan rutin menemukan dadah berbahaya dalam bagasi yang akan dimuatkan ke dalam pesawat TUDM di Pangkalan Udara Subang, Selasa lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penemuan itu dikesan sendiri oleh petugas TUDM ketika menjalankan pemeriksaan rutin di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), Pangkalan Udara Subang pada 17 November lalu.
Menurut beliau, pemeriksaan berkenaan menemukan lima buah bagasi dan sebuah kotak yang mencurigakan sebelum perkara itu dilaporkan kepada Cawangan Penyiasatan Zon Tengah TUDM.
Katanya, pihak berkenaan kemudian menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Pada kira-kira pukul 5.20 petang hari yang sama, pasukan PDRM tiba di lokasi dan mengesahkan bahan yang ditemukan merupakan dadah berbahaya.
“Kesemua lima bagasi dan sebuah kotak telah disita sebagai bahan bukti, manakala lima pegawai TUDM yang disyaki terlibat telah ditahan oleh PDRM,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, penemuan tersebut merupakan kejadian pertama seumpamanya yang dikesan ketika pemeriksaan rutin dilaksanakan oleh TUDM.
Beliau menjelaskan, TUDM secara berkala menjalankan pemeriksaan dalaman bagi memastikan organisasi itu sentiasa bebas daripada sebarang kegiatan berkaitan dadah.
Sehubungan itu, katanya, kes berkenaan telah diserahkan kepada PDRM untuk siasatan lanjut, manakala TUDM akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan dijalankan.
“Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan jenayah. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang terbukti terlibat atau bersubahat,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kementerian Pertahanan sentiasa mengutamakan prinsip ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap tindakan termasuk pengendalian kes berkenaan.








