Setahun selepas diselamatkan dari sebuah pulau terpencil, seekor kucing kurang upaya (KKU) yang diberi nama Talang kini menjalani kehidupan lebih sihat dan ceria bersama penyelamatnya.
Menerusi perkongsian di media sosial, seorang lelaki berkongsi perkembangan terkini Talang yang menunjukkan perubahan ketara berbanding ketika pertama kali dibawa pulang ke rumah.
Menurutnya, ketika mula-mula diselamatkan, Talang berada dalam keadaan kurus kering dengan berat hanya 2.9 kilogram, namun selepas setahun dijaga, beratnya kini meningkat kepada 6 kilogram.
Lebih menggembirakan, Talang kini berada dalam keadaan sihat dan mempunyai perwatakan yang tenang serta santai.
Walaupun merupakan kucing kurang upaya yang hanya mempunyai tiga kaki, keadaan fizikal itu tidak menghalang Talang daripada menjalani kehidupan aktif, termasuk memanjat dan menuruni tangga seperti kucing lain.
Terdahulu, kisah Talang pernah mencuri perhatian ramai selepas ditemukan bersendirian di Pulau Talang, sebuah pulau yang terpisah daripada daratan utama.
Lelaki berkenaan pada mulanya hairan bagaimana kucing berkaki tiga itu boleh berada di pulau tersebut, sebelum cuba membawanya pulang menggunakan kayak.
Bagaimanapun, usaha itu berdepan kesukaran kerana kayak yang dinaikinya dipenuhi peralatan perkhemahan, selain bimbang keselamatan Talang yang meronta-ronta ketika cuba dimasukkan ke dalam tong ikan.
Susulan itu, dia meminta bantuan individu yang menaiki bot berhampiran untuk menyelamatkan kucing berkenaan dan membawanya ke daratan.
Selepas setahun berlalu, perubahan Talang memperlihatkan bagaimana penjagaan dan kasih sayang mampu memberikan kehidupan lebih baik kepada haiwan kurang upaya.








