Perubatan tradisional bukan lagi sekadar membabitkan penggunaan herba dan amalan turun-temurun, malah semakin berkembang seiring kemajuan teknologi serta penyelidikan kesihatan moden.
Perkembangan itu bakal diketengahkan menerusi Pameran Antarabangsa Perubatan Tradisional, Komplementari dan Teknologi Kesihatan Malaysia 2026 (TCMex 2026) yang berlangsung selama tiga hari, bermula 25 hingga 27 November ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Memasuki penganjuran edisi kedua, acara bertemakan ‘Memacu Kesihatan Global Melalui Tradisi dan Inovasi’ itu dijangka menghimpunkan 125 pempamer menerusi 200 ruang pameran, selain menyasarkan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung perdagangan dari dalam dan luar negara.
Penyertaan syarikat dari Malaysia, China, Singapura, Macau dan Korea Selatan antara yang bakal memperkenalkan pelbagai produk, peralatan serta penyelesaian berkaitan perubatan tradisional, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan.
Konsultasi percuma dan pengalaman mengenali herba

Antara tarikan TCMex 2026 ialah TCM Charity Consultation Zone yang menawarkan konsultasi percuma bersama pengamal Perubatan Tradisional Cina (TCM) berlesen dan profesional.
Pengunjung juga berpeluang mengenali konsep Homologi Perubatan-Makanan menerusi zon khas yang memperkenalkan pelbagai campuran teh herba menggunakan bahan tradisional seperti bunga, buah-buahan dan tumbuhan herba.
Selain itu, Digital Healthcare Innovation Zone akan mempamerkan perkembangan teknologi kesihatan digital serta potensi penggunaannya dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Pameran berkenaan turut merangkumi suplemen kesihatan, pemakanan fungsian, peralatan perubatan, penyelesaian terapi serta produk hijau dan organik.
Teknologi AI turut menjadi tumpuan
Tidak hanya tertumpu kepada pameran produk, TCMex 2026 turut menyediakan sesi perkongsian ilmu menerusi TCMexTalk yang membincangkan pelbagai perkembangan semasa industri.
Antara topik yang diketengahkan ialah penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam amalan dan pembelajaran perubatan tradisional dan komplementari, usaha memelihara ilmu Perubatan Tradisional Cina serta kepentingan pemulihan sel dalam menyokong kesihatan.
Turut berlangsung ialah Persidangan Perubatan Tradisional dan Komplementari 2026 yang dianjurkan bersama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Persekutuan Persatuan Tabib Dan Pedagang Ubat Tionghua Malaysia.
Persidangan selama dua hari itu akan membincangkan dasar dan kawal selia, penyelidikan, inovasi, perdagangan antarabangsa serta pendekatan kesihatan holistik.
Buka peluang kerjasama perniagaan antarabangsa

Penganjuran TCMex 2026 turut menyediakan platform kepada syarikat tempatan untuk meneroka peluang perniagaan melalui penyertaan China TCM Health Services Expo 2026 (TCMHS).
Inisiatif berkenaan membolehkan pemain industri dari Malaysia dan Asia Tenggara berhubung dengan pengilang, pembekal serta penyedia teknologi antarabangsa bagi mengenal pasti peluang pengedaran, mendapatkan sumber bekalan baharu dan membina kerjasama strategik.
Program padanan perniagaan China-ASEAN juga dijadualkan berlangsung bagi menghubungkan syarikat yang berminat mengembangkan operasi masing-masing ke pasaran serantau.
TCMex 2026 dianjurkan bersama Persatuan Produk Makanan Tradisional dan Kesihatan Malaysia-China di bawah naungan Persekutuan Persatuan Tabib Dan Pedagang Ubat Tionghua Malaysia.
Kemasukan ke pameran adalah percuma, dengan waktu lawatan bermula jam 10 pagi hingga 6 petang sepanjang 25 hingga 27 November 2026.
Pengunjung perdagangan yang berminat boleh membuat pendaftaran awal menerusi pautan rasmi pendaftaran TCMex 2026.








