'Cacing-cacing kepanasan UMNO' - Tony Pua balas kritikan | The Reporter

‘Cacing-cacing kepanasan UMNO’ – Tony Pua balas kritikan

Tony Pua membalas kritikan pemimpin UMNO berhubung kontroversi minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Najib Razak.
Tony Pua membalas kritikan pemimpin UMNO berhubung kontroversi minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Najib Razak.

Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua tampil mempertahankan tindakannya berkongsi petikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, susulan kritikan beberapa pemimpin UMNO.

Menerusi hantaran di Facebook, pemimpin DAP itu menyifatkan reaksi pemimpin UMNO seperti ‘cacing kepanasan’ setiap kali isu membabitkan Najib dibangkitkan.

“Ni cacing-cacing kepanasan UMNO, I tak berapa faham. Bila sentuh saja kes pasal Penjenayah/Penyamun Malaysia #1, Najib Razak yang amat mereka sayangi, semua habis hilang akal,” katanya.

Tony menegaskan beliau bukan individu yang bertanggungjawab menyahklasifikasikan minit mesyuarat berkenaan, selain tidak mempunyai sebarang peranan dalam keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan.

“Yang nyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan, bukan saya. Yang membuat sebarang keputusan dalam Lembaga, bukan saya.

“Yang saya buat? Hanya rujuk kepada minit mesyuarat yang telah sah dinyahklasifikasikan, dan membentangkan fakta-fakta yang ternyata dalam minit tersebut,” jelasnya.

Beliau turut menggunakan ungkapan bahasa Inggeris, don’t shoot the messenger, yang membawa maksud jangan menyalahkan individu yang hanya menyampaikan sesuatu maklumat.

Dalam hantaran sama, Tony menyindir pemimpin UMNO yang didakwanya hanya mampu melabel beliau sebagai biadab atau menyalahkan DAP berhubung kontroversi tersebut.

Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa pihak bertanggungjawab memberikan penjelasan rasmi mengenai status penyahklasifikasian dokumen berkenaan, termasuk pihak yang meluluskannya serta asas perundangan yang digunakan.

Azalina turut mempersoalkan sama ada salinan dokumen yang tersebar sepadan dengan rekod rasmi dan sama ada penyahklasifikasian melibatkan keseluruhan minit mesyuarat atau hanya bahagian tertentu.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mengkritik tindakan Tony yang didakwanya memperalatkan proses pengampunan diraja sebagai senjata politik.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menggesa pihak berkuasa menyiasat Tony dan DAP berhubung penyebaran dokumen tersebut.

Mahdzir turut mempersoalkan bagaimana kandungan minit mesyuarat berkenaan boleh tersebar tanpa pengumuman rasmi kerajaan mengenai penyahklasifikasiannya.

Related Posts