'Sebelum nak cakap, tolong gunakan otak' -Akmal bidas Khoo Poay Tiong | The Reporter

‘Sebelum nak cakap, tolong gunakan otak’ -Akmal bidas Khoo Poay Tiong

Akmal Saleh bidas Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung isu penutupan premis ketika solat Jumaat di Terengganu.
Akmal Saleh bidas Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung isu penutupan premis ketika solat Jumaat di Terengganu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegur Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong susulan kenyataannya berhubung pelaksanaan penutupan premis perniagaan selama dua jam bagi memberi laluan kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat di Kuala Terengganu.

Akmal menegaskan bahawa pelaksanaan peraturan berkenaan bertujuan menghormati kewajipan umat Islam menunaikan solat Jumaat dan bukannya menyekat aktiviti perniagaan masyarakat bukan Islam.

Sensitiviti agama

Menurutnya, Khoo sepatutnya memahami sensitiviti agama serta mengambil kira komposisi penduduk negeri itu sebelum mempertikaikan pelaksanaan peraturan berkenaan.

“Saya nak beritahu kepada Khoo Poay Tiong ini, kau kena tahu, kau datang Terengganu ini, dekat Terengganu, 97 peratus rakyat Terengganu adalah orang Islam.

“Dan orang Islam ini pada hari Jumaat, kita ada solat Jumaat. Solat Jumaat ini wajib kepada orang Islam, terutama orang lelaki,” katanya menerusi satu kenyataan video.

Penutupan premis dua jam

Akmal turut menjelaskan bahawa tempoh penutupan premis bermula pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang itu hanya melibatkan dua jam bagi membolehkan pekerja beragama Islam menunaikan kewajipan mereka.

“Bukan tutup lama sangat pun. Bukan tutup 10 jam atau tutup satu hari. Dua jam, dua jam itulah yang tutup.

“Jadi, 12.30 hingga 2.30 itu bukan untuk rehat tidur. 12.30 hingga 2.30 itu nak bagi orang pergi solat Jumaat,” ujarnya.

Beliau turut merujuk penjelasan pihak berkuasa tempatan yang menurutnya menetapkan bahawa peraturan tersebut hanya terpakai kepada premis melibatkan orang Islam.

“Premis bukan Islam yang tak ada pekerja orang Islam, tak ada masalah pun, boleh buka.

“Jadi, yang diminta tutup 12.30 hingga 2.30 ini hanyalah premis yang mempunyai pekerja orang Islam, sebab orang Islam ini nak pergi sembahyang,” katanya.

Akmal persoal kefahaman Khoo mengenai peraturan solat Jumaat

Dalam pada itu, Akmal turut mengkritik Khoo yang disifatkannya sepatutnya lebih memahami tujuan pelaksanaan peraturan tersebut sebagai seorang ahli Parlimen.

“Sebelum kamu nak cakap, tolong gunakan otak dan fahamlah sensitiviti orang Islam di situ.

“Kamu ini adalah ahli Parlimen. Kamu patut tahu kenapa 12.30 sampai 2.30 itu ditutup,” tegasnya.

Akmal turut menyindir kepimpinan DAP dan mengajak rakyat Malaysia menilai perkara tersebut apabila tiba pilihan raya.

Terdahulu, Khoo menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika waktu solat Jumaat.

Beliau berpandangan bahawa pelaksanaan peraturan itu boleh menjejaskan kebebasan berniaga serta operasi perniagaan masyarakat bukan Islam sekiranya dikuatkuasakan secara menyeluruh.

Khoo turut membangkitkan tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang melanggar arahan berkenaan, termasuk denda sehingga RM2,000, hukuman penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, selain risiko pembatalan lesen perniagaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya menghormati kewajipan umat Islam menunaikan solat Jumaat, namun berpendapat pelaksanaan dasar berkenaan perlu mengambil kira kepentingan semua masyarakat.

Related Posts