Hasrat seorang individu dikenali sebagai Kevin Khoo untuk menghadiri pertemuan semula bersama rakan-rakan lama selepas 30 tahun hampir tergendala apabila dia tersesat di sebuah kawasan kampung yang dilanda banjir berhampiran Ijok, Selangor.
Bagaimanapun, detik mencemaskan itu bertukar menjadi kenangan manis apabila seorang lelaki bersama penduduk kampung tampil menghulurkan bantuan bagi memastikan Kevin dapat meneruskan perjalanannya dengan selamat.
Menerusi hantaran di Threads, Kevin berkata, ketika itu dia dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jeram pada Sabtu lalu untuk menghadiri pertemuan semula bersama rakan-rakan yang sudah tiga dekad tidak ditemuinya.
Menurutnya, hujan lebat sepanjang perjalanan menyebabkan dia menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) sebelum aplikasi navigasi Waze membawanya keluar melalui kawasan Ijok.
Namun, dia akhirnya tersesat di sebuah kampung yang dikelilingi ladang kelapa sawit sebelum mendapati laluan di hadapannya dinaiki air banjir.
“Tiba-tiba banjir. Saya tersesat di sebuah kampung entah di mana. Kiri kanan hanya kelapa sawit, sunyi, air naik. Jujur, seram sangat,” kongsinya.
Lelaki sanggup redah banjir demi keselamatan orang luar
Dalam keadaan cemas itu, seorang lelaki yang tidak dikenalinya muncul untuk membantu.
Apa yang menyentuh hati Kevin, lelaki tersebut tidak terus menyuruhnya meredah banjir, sebaliknya terlebih dahulu berjalan merentasi kawasan dinaiki air bagi memastikan laluan itu selamat digunakan.
“Dia tak suruh saya redah dulu. Dia yang redah banjir dahulu, sendiri, untuk ukur kedalaman air.
“Lepas dia pasti selamat, baru dia isyarat, ‘Boleh jalan’,” katanya.
Lebih mengharukan, bukan lelaki itu sahaja yang tampil membantu, malah hampir seluruh penduduk kampung turut keluar untuk melihat keadaan dan membantu orang asing yang terkandas.
“Tiada siapa suruh. Tiada siapa minta. Orang kampung memang paling best,” luahnya.
Hasil bantuan penduduk berkenaan, Kevin akhirnya berjaya meneruskan perjalanan dan menghadiri pertemuan semula bersama rakan-rakannya seperti dirancang.
Cari lelaki yang membantu untuk ucap terima kasih
Walaupun berjaya sampai ke destinasi, Kevin mengakui masih terkenang-kenang kebaikan penduduk kampung berkenaan, khususnya lelaki yang sanggup meredah banjir demi memastikan keselamatannya.
“Saya selamat sampai ke reunion, dan dapat jumpa kawan-kawan yang 30 tahun tak jumpa. Tapi hati saya tertinggal di kampung tu,” katanya.
Susulan itu, dia meminta bantuan pengguna media sosial untuk mengesan lelaki berkenaan supaya dapat mengucapkan terima kasih secara bersemuka.
Kevin turut berkongsi bahawa kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang pada 21 November lalu di sebuah kampung berhampiran Ijok yang dikelilingi kawasan ladang sawit.
“Saya nak cari abang ni. Saya nak ucap terima kasih depan-depan.
“Kalau awak kenal abang ini, atau awak abang itu sendiri, tolong tag atau mesej saya. Biar saya belanja makan, dan cerita pada dunia bahawa baik hati itu masih hidup di kampung kita,” tulisnya.
‘Hero’ hadir
Menariknya, hantaran berkenaan turut mendapat perhatian seorang pengguna Threads dengan nama akaun @khuzaifah9030 yang meninggalkan komen ringkas, “Hadir bos…”
Komen tersebut dipercayai sebagai respons daripada lelaki yang dicari Kevin.








