Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa marah dan kecewa selepas menerima aduan berhubung penyediaan makanan yang tidak memuaskan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba, Melaka.
Beliau berkata, beberapa pelajar dan ibu bapa menghubunginya menerusi WhatsApp serta mesej peribadi di media sosial bagi mengadu mengenai hidangan ayam yang tidak dimasak dengan sempurna di Dewan Selera maktab berkenaan.
Menurutnya, semakan pihak pengurusan mendapati kontrak penyedia makanan di MRSM tersebut hanya berbaki sebulan sebelum tamat tempoh.
“Sudah semacam satu ‘trend’ apabila satu-satu kontrak sudah hampir tamat tempoh, maka penyedia makanan semacam mengabaikan kualiti makanan yang disediakan.
“Saya amat kecewa dengan sikap kontraktor yang tidak bertanggungjawab seperti ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Susulan itu, beliau mengarahkan pengetua MRSM berkenaan supaya segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas.
Asyraf Wajdi turut menzahirkan kebimbangan terhadap kebajikan pelajar, khususnya mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli makanan alternatif, selain pelajar Tingkatan Lima yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Hidangan ayam masak kicap habis, pelajar terpaksa menunggu
Berdasarkan laporan awal yang dikongsikan Asyraf Wajdi, kejadian berlaku antara pukul 6.40 hingga 7.10 malam pada Isnin, 23 November 2026.
Hidangan ayam masak kicap dilaporkan telah habis pada pukul 6.40 petang, menyebabkan sebilangan besar pelajar terpaksa menunggu selama 30 minit untuk mendapatkan hidangan tambahan.
Bagaimanapun, ayam masak kicap yang disediakan semula didapati tidak dimasak dengan sempurna.
Pihak Dewan Selera kemudian menyediakan hidangan gantian, manakala makanan gantian turut akan diberikan kepada pelajar yang terjejas.
Kontraktor makanan berdepan penalti, senarai hitam
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau baru beberapa minggu lalu melakukan lawatan mengejut ke MRSM berkenaan dan memberi amaran kepada penyelia Dewan Selera supaya memastikan kualiti makanan menepati piawaian ditetapkan MARA.
Beliau turut mengarahkan pengurusan MARA, khususnya Bahagian Pendidikan Menengah, mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Ini soal kebajikan pelajar yang saya tidak boleh tolak ansur. Malah kontraktor makanan boleh dikenakan penalti dan akan disenarai hitamkan daripada mendapat apa-apa manfaat daripada MARA pada masa akan datang,” tegasnya.








