Bapa dipukul penumpang Alza, anak mohon orang ramai kongsi rakaman dashcam | The Reporter

Bapa dipukul penumpang Alza, anak mohon orang ramai kongsi rakaman dashcam

Kejadian lelaki dipukul penumpang Perodua Alza di Pasir Panjang, Kuala Terengganu.
Gambar janaan AI berdasarkan tangkapan layar video tular memaparkan insiden seorang lelaki dipukul selepas terlibat dalam kemalangan di Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Seorang lelaki didakwa dipukul oleh individu selepas keluar dari keretanya untuk memeriksa keadaan kenderaan susulan kemalangan di kawasan Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Kejadian itu dikongsikan oleh anak mangsa, Daniel Haiqal menerusi hantaran dalam kumpulan Facebook Gabungan Anak Terengganu bagi mendapatkan bantuan orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam).

Menurut Daniel, kereta bapanya dilanggar dari belakang sebelum dia keluar untuk melihat keadaan kenderaan, namun secara tiba-tiba didakwa dipukul oleh seseorang.

“Ayah saya terlibat dalam kemalangan apabila kereta beliau dilanggar dari belakang. Selepas kejadian, ayah keluar dari kereta untuk melihat keadaan kenderaan, namun secara tiba-tiba ayah telah dipukul oleh seseorang,” katanya.

Susulan kejadian itu, Daniel merayu kepada orang ramai yang melalui kawasan berkenaan dan mempunyai rakaman dashcam atau menyaksikan kejadian tersebut supaya tampil menyalurkan maklumat.

Katanya, pihak keluarga kini sedang berusaha mendapatkan bukti rakaman bagi membantu mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

“Mohon jasa baik semua untuk share dan viralkan. Mana tahu perkongsian anda dapat membantu kami mendapatkan rakaman yang sangat kami perlukan,” katanya.

Related Posts