PETRONAS mengesahkan berlaku satu insiden semasa kerja-kerja penyelenggaraan bot penyelamat pada kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam, melibatkan empat kakitangan kontraktor di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan semalam
Menurut kenyataan syarikat itu, tiga daripada empat kakitangan yang terlibat disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada kira-kira jam 5.57 petang. Seorang lagi mangsa dilaporkan cedera dan telah dipindahkan untuk menerima rawatan lanjut serta kini berada di bawah pemantauan rapi.
PETRONAS memaklumkan bahawa siasatan lanjut berhubung punca kejadian sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan bagi mengenal pasti faktor yang menyebabkan insiden tersebut berlaku.
Syarikat itu turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, rakan sekerja dan semua pihak yang terkesan dengan tragedi berkenaan.
“PETRONAS ingin menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja mangsa yang terlibat. Keutamaan syarikat adalah untuk menyokong kebajikan mereka yang terjejas,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor memaklumkan kejadian pada jam 12.50 tengah hari Ahad berlaku ketika semua mangsa dipercayai menaiki bot penyelamat di atas platform untuk turun ke laut bagi kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform. Tali atau cangkuk bot itu dipercayai tercabut menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke laut bersama bot tersebut.
Dalam kejadian itu, tiga mangsa iaitu Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Pahang; dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Pahang disahkan meninggal dunia. Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Selangor cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.








