Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
WASHINGTON – Seorang wanita terpaksa menghubungi talian 911 selepas mendapati rumahnya didatangi lebih dari 100 ‘penyamun bertopeng’ yang menghalangnya memasuki kediamannya sendiri.
Timbalan Syerif Daerah Kitsap yang mendapat panggilan itu, terus bergegas ke lokasi dan terkejut apabila melihat terlalu banyak rakun yang membanjiri halaman rumah pengadu.

Siasatan awal mendapati, pengadu sering memberi makanan kepada haiwan tersebut sejak 35 tahun lalu dan haiwan-haiwan kecil itu tidak pernah menimbulkan sebarang masalah.
Sehinggalah beberapa minggu lalu, kehadiran ‘penyamun’ itu semakin meningkat dan membanjiri halaman rumahnya untuk meminta makanan.
“Ini pertama kali berlaku. Entah bagaimana ‘penyamun’ ini menyebarkan maklumat dan mereka muncul di rumah pengadu untuk meminta makanan,” kata jurucakap pejabat syerif, Kevin McCarthy kepada 9News.
McCarthy berkata, pengadu telah menghubungi sebuah organisasi untuk menangani masalah itu, tetapi pihak berkenaan mengenakan caj sebanyak $500 untuk perkhidmatan tersebut. Pejabat Syerif Daerah Kitsap kemudian meminta pengadu menghubungi Jabatan Ikan dan Hidupan Liar Washington untuk membantunya.

Walaupun rakun itu datang dalam satu kumpulan yang besar, haiwan itu tidak melakukan sebarang jenayah yang membahayakan penduduk di situ. Insiden itu menjadi contoh mengapa orang awam tidak digalakkan memberi makanan kepada haiwan liar.
“Mudah saja, jangan beri makanan kepada haiwan liar. Apabila haiwan liar mempunyai sumber makanan yang boleh dipercayai, mereka akan berterusan kembali kepadanya. Dan itulah yang dilakukan oleh sekumpulan rakun ini.
“Walaupun mereka kelihatan comel, rakun boleh menyebabkan kemusnahan serius jika dibiarkan tanpa kawalan,” katanya. – Agensi








