'Tiga hari ini saya tak dapat lena'- Sanusi fikir impian untuk rakyat belum tertunai | The Reporter

‘Tiga hari ini saya tak dapat lena’- Sanusi fikir impian untuk rakyat belum tertunai

Muhammad Sanusi Md Nor berucap pada Seminar Pengurusan Kewangan Peringkat Negeri Kedah.
Muhammad Sanusi Md Nor mengakui masih memikirkan beberapa sasaran pentadbiran Kedah yang belum tercapai selepas enam tahun menjadi Menteri Besar.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui dua perkara yang dekat di hatinya masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya selepas enam tahun menerajui pentadbiran negeri: pemilikan rumah dan tanah bagi keluarga yang menumpang, serta bantuan pendidikan kepada pelajar miskin dan anak yatim.

Menurutnya, beliau mahu keluarga yang sudah puluhan tahun tinggal di tanah tanpa geran berpeluang memiliki rumah atau tanah sendiri. Dengan itu, kediaman mereka boleh diwariskan kepada generasi seterusnya.

“Saya ada cita-cita, ini mesti ditamatkan. Mereka mesti ada tanah untuk dirikan rumah dan rumah yang mereka tinggalkan itu apabila menutup mata menjadi rumah pusaka,” katanya.

Sanusi berkata, masalah itu turut memberi kesan kepada hubungan keluarga. Apabila penghuni terpaksa berpindah atas permintaan pemilik tanah, rumah yang selama ini menjadi tempat berkumpul anak-beranak juga terpaksa ditinggalkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah memulakan usaha menangani keadaan tersebut melalui pembangunan Kampung Sejahtera di Perik, dengan pembinaan rumah telah bermula. Namun, beliau mengakui usaha itu masih pada peringkat awal.

Baca juga:

Sanusi turut membangkitkan nasib kira-kira 30 keluarga yang tinggal di kawasan rizab sungai di Baling. Menurutnya, mereka tiada tempat untuk dituju apabila perlu berpindah akibat projek tebatan banjir. Beliau menyifatkan keadaan mereka sebagai sebahagian kecil daripada masalah tempat tinggal yang dihadapi ribuan keluarga lain.

Satu lagi perkara yang belum selesai sepenuhnya, katanya, ialah membantu pelajar miskin dan anak yatim meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi. Kerajaan negeri membelanjakan RM3 juta setahun bagi bantuan kemasukan universiti, selain menghidupkan semula Tabung Tunku Mahmud yang menyasarkan RM12 juta hasil sumbangan seorang dermawan.

Menurut Sanusi, jumlah bantuan kepada setiap penerima pernah dikurangkan selepas skim itu dibuka kepada lebih ramai pelajar. Walaupun sebahagian usaha sudah dilaksanakan, beliau berkata sasaran asalnya masih belum tercapai sepenuhnya.

“Saya ada KPI. Saya tanda satu-satu yang telah saya capai, yang sedang dalam proses, yang telah selesai, yang belum selesai dan yang belum mula,” katanya sambil mengakui beberapa sasaran masih belum menunjukkan kesan seperti diharapkan.

Sehubungan itu, beliau menyeru jentera kerajaan negeri memperkemas pentadbiran dan mempercepatkan urusan agar masalah rakyat dapat ditangani dengan lebih pantas.

Sumber: Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA).

Related Posts