Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri, menurut Jabatan Peguam Negara.
Dalam kenyataan bertarikh 22 September 2026, jabatan itu merujuk pengumuman Menteri Besar Negeri Sembilan pada hari yang sama mengenai penggantungan tugas kedua-dua pegawai berkenaan yang berkuat kuasa serta-merta.
Jabatan Peguam Negara menjelaskan bahawa urusan pelantikan, termasuk penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
“Bagi Penasihat Undang-Undang Negeri pula, bidang kuasa itu terletak pada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan,” katanya.
Baca juga:
- Menteri Agama puji Jep Sepahtu, sifatkan inspirasi kepada golongan asnaf
- MP Masjid Tanah cadang Hospital Putrajaya dinamakan sempena Tun Dr Hasmah
- Bajet 2027: Puad gesa tubuh badan khas pantau perbelanjaan kementerian
Menurut jabatan itu, pembahagian kuasa tersebut termaktub dalam Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Jabatan Peguam Negara turut menegaskan bahawa pelantikan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu perlu mematuhi peruntukan sama, iaitu dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.








