Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengeluarkan kenyataan tegas terhadap warga asing yang melanggar undang-undang atau mengambil kesempatan terhadap rakyat tempatan, termasuk meminta mereka meninggalkan negara itu sekiranya melakukan kesalahan.
Anutin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, warga asing dialu-alukan untuk tinggal dan mencari rezeki di Thailand selagi berbuat demikian secara jujur, mematuhi undang-undang serta tidak mengeksploitasi rakyat negara itu.
Bagaimanapun, beliau menggunakan bahasa yang keras ketika menyentuh isu permohonan mewujudkan tanah perkuburan persendirian oleh warga asing di Thailand.
“Baru-baru ini saya mendapat tahu terdapat permohonan untuk mewujudkan tanah perkuburan persendirian. Ini sudah keterlaluan dan melampaui batas.
“Kalau mahu mati, baliklah mati di negara sendiri. Tidak perlu mati di sini. Dan jangan ambil kesempatan terhadap kami,” katanya seperti dipetik media Thailand.
Kenyataan itu dibuat ketika Anutin menyampaikan taklimat mengenai pelaksanaan dasar Kementerian Dalam Negeri pada Khamis, sambil mengarahkan gabenor wilayah meningkatkan penguatkuasaan terhadap warga asing yang melakukan kesalahan.
Beliau turut membangkitkan isu penubuhan tempat ibadat tanpa kelulusan sewajarnya, selain mendakwa terdapat premis yang memohon kebenaran beroperasi sebagai restoran tetapi turut digunakan sebagai tempat ibadat.
Baca juga:
- ‘Kalau mahu mati, baliklah ke negara sendiri’ – PM Thailand
- Macklemore digugurkan daripada jelajah Ed Sheeran selepas laung ‘Free Palestine’
- Insiden atlet tercirit, HYROX mohon maaf, akui gagal bertindak segera
Menurut Anutin, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap warga asing yang bertindak agresif, mengugut, membuli atau mengambil kesempatan terhadap rakyat Thailand, termasuk melaksanakan pengusiran sekiranya memenuhi kriteria ditetapkan.
Beliau menegaskan tindakan berkenaan tidak ditujukan kepada rakyat dari satu negara tertentu, sebaliknya melibatkan warga asing dari pelbagai negara di Asia, Asia Barat, Asia Tengah, Eropah dan Afrika.
Dalam masa sama, Anutin menegaskan Thailand kekal terbuka menerima warga asing yang datang secara sah serta menghormati undang-undang, adat dan budaya tempatan.
Kerajaan Thailand sebelum ini memperkenalkan peraturan baharu berkaitan pengusiran yang berkuat kuasa pada 28 Ogos lalu bagi memperkemas tindakan terhadap warga asing yang melanggar undang-undang atau melakukan perbuatan yang menjejaskan ketenteraman awam.
Sumber: Khaosod English, Anadolu Agency









