Seekor badak air terkenal bernama Fiona yang menjadi perhatian ramai sejak kelahirannya dilaporkan mati selepas tertelan topi yang secara tidak sengaja terjatuh ke dalam habitatnya di Zoo Cincinnati, Ohio, Amerika Syarikat.
Fiona, berusia sembilan tahun, disahkan mati pada Khamis selepas pasukan veterinar gagal mengeluarkan topi kait (crochet) berkenaan daripada sistem pencernaannya meskipun pelbagai usaha rawatan dilakukan.
Kanak-kanak lambung topi
Menurut laporan AP, kejadian bermula apabila seorang kanak-kanak melambungkan topi ke udara ketika berada berhampiran kawasan pameran badak air di zoo berkenaan.
Bagaimanapun, topi tersebut terkena kipas siling sebelum melayang melalui ruang kecil di bahagian atas tingkap pemerhatian dan jatuh ke dalam habitat Fiona.
Kejadian tidak disengajakan
Jurucakap zoo, Michelle Curley menjelaskan bahawa kejadian itu merupakan kemalangan yang tidak disengajakan dan bukannya tindakan sengaja mencampakkan objek ke arah haiwan tersebut.
Fiona kemudiannya menelan topi berkenaan dan pada awalnya tidak menunjukkan sebarang gejala membimbangkan sebelum mula kehilangan selera makan beberapa hari kemudian.
Susulan itu, pasukan veterinar menjalankan pemeriksaan termasuk ultrabunyi dan kolonoskopi menggunakan alat sepanjang kira-kira 2.7 meter, namun gagal mengesan kedudukan topi tersebut.
Malah, pihak zoo turut meminjam sebuah platform getaran dari ladang kuda dengan harapan pergerakan yang dihasilkan dapat membantu topi itu melalui sistem pencernaan Fiona secara semula jadi.
Bagaimanapun, pembedahan dianggap terlalu berisiko berikutan struktur sistem pencernaan badak air yang kompleks, selain kesukaran menentukan lokasi sebenar objek berkenaan.
Dalam satu kenyataan, pihak Zoo Cincinnati meluahkan kesedihan mendalam atas pemergian Fiona selepas segala usaha menyelamatkannya tidak membuahkan hasil.
Pengarah Zoo Cincinnati, Dave Jenike turut mengakui pihaknya terkejut dengan kematian haiwan tersebut kerana tidak menjangkakan keadaan akan berakhir sedemikian.
Menurutnya, Fiona telah berjuang sehingga ke penghujung hayatnya, manakala pasukan penjaga dan veterinar sudah melakukan segala yang termampu untuk menyelamatkannya.
Fiona jadi sebutan dunia
Terdahulu, Fiona mencuri perhatian dunia selepas dilahirkan enam minggu lebih awal daripada jangkaan pada Januari 2017 dengan berat hanya kira-kira 13 kilogram.
Walaupun peluang untuk hidup pada ketika itu amat tipis, Fiona berjaya membesar hasil penjagaan rapi kakitangan zoo sehingga menjadi antara haiwan paling popular di Amerika Syarikat.
Kisah perjuangan hidupnya turut mendapat perhatian jutaan pengguna media sosial, selain menjadi inspirasi kepada penerbitan beberapa buku kanak-kanak.
Pemergian Fiona turut mengundang kesedihan dalam kalangan pengunjung dan peminatnya, dengan sebahagian mereka meninggalkan bunga serta kad ucapan sebagai tanda penghormatan.








