Enam hari bertahan dalam hutan Australia, remaja ditemukan terbaring atas batu | The Reporter

Enam hari bertahan dalam hutan Australia, remaja ditemukan terbaring atas batu

Remaja 17 tahun ditemukan terbaring di atas batu berhampiran anak sungai ketika operasi menyelamat oleh Polis Victoria di Australia.
Remaja 17 tahun ditemukan terbaring di atas batu berhampiran anak sungai ketika operasi menyelamat oleh Polis Victoria di Australia.

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditemukan selamat selepas enam hari dilaporkan hilang di kawasan hutan berbukit berhampiran Walhalla East, Victoria, Australia.

Remaja dikenali sebagai William itu ditemukan oleh pasukan penyelamat dalam keadaan terbaring di atas sebuah batu berhampiran anak sungai di kawasan terpencil pada Khamis.

Detik penemuannya turut dirakam menerusi kamera helikopter Polis Victoria yang memperlihatkan remaja berkenaan berada di atas batu sebelum memberikan reaksi gembira apabila menyedari kehadiran pasukan penyelamat.

Menurut laporan ABC News Australia, William dilaporkan hilang sejak 6 November lalu ketika menyertai aktiviti perkhemahan bersama seorang lagi remaja di kawasan berkenaan.

Kehilangannya mencetuskan operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan pihak berkuasa selepas usaha mengesannya tidak berhasil.

Sepanjang tempoh kehilangan itu, William dipercayai bertahan dengan meminum air sungai, selain memakan bekalan kerepek kentang yang dibawanya.

Dia juga menggunakan tuala untuk membantu memanaskan badan ketika berada dalam persekitaran hutan yang mencabar.

Pasukan penyelamat akhirnya berjaya mengesan remaja itu selepas menemui sebuah kotak peralatan memancing sebelum pencarian diteruskan di kawasan berhampiran.

William ditemukan kira-kira dua kilometer dari kawasan perkhemahan asalnya.

Walaupun mengalami selaran matahari dan kecederaan ringan, remaja itu dilaporkan berada dalam keadaan sedar serta secara umumnya sihat selepas melalui pengalaman mencemaskan berkenaan.

Dia kemudiannya dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan lanjut.

Penemuan William dalam keadaan selamat selepas enam hari hilang di kawasan hutan terpencil itu turut membawa kelegaan kepada keluarganya dan pasukan penyelamat yang terlibat.

Related Posts