Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tindakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, meneruskan lawatan rasmi ke China, menghadiri mesyuarat peringkat menteri dan terlibat dalam pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) selepas mengumumkan hasrat untuk meletakkan jawatan.
Menurut Fadhli, Loke masih boleh menjalankan tugas selagi peletakan jawatannya belum berkuat kuasa. Bagaimanapun, beliau berpendapat pengumuman untuk berundur atas dasar prinsip sepatutnya diikuti dengan sikap lebih berhati-hati terhadap komitmen baharu yang mungkin memberi kesan selepas peralihan jawatan.
“Urusan rutin dan perkara mendesak tentulah perlu diteruskan, tetapi keputusan atau komitmen baharu yang mempunyai kesan selepas beliau berundur sepatutnya dibuat dengan lebih berhati-hati,” katanya dalam satu kenyataan.
Baca juga:
- ‘Pelik juga kalau sempat tambah perabot baharu sebelum serahkan kunci’ – Fadhli
- Dua pelajar maut, motosikal bertembung kereta ketika pulang dari sekolah
- AGC: MMKN tiada kuasa gantung tugas SUK, penasihat undang-undang
Fadhli berkata, keputusan besar yang tidak mendesak wajar dipertimbangkan untuk diserahkan kepada pengganti. Beliau turut mempersoalkan bila proses peletakan jawatan Loke sebenarnya bermula jika jadual rasmi menteri masih berjalan seperti biasa.
Dalam kenyataan sama, Fadhli merujuk pujian Lim Guan Eng terhadap peranan Loke dalam mendapatkan kelulusan Kerajaan Persekutuan bagi projek pengangkutan bernilai lebih RM21 bilion di Pulau Pinang. Menurutnya, Kementerian Pengangkutan wajar mendedahkan angka projek mengikut negeri supaya rakyat dapat membuat perbandingan.
Loke sebelum ini menyatakan hasrat mengemukakan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.









