Itali cadang larang burqa dan niqab di sekolah | The Reporter

Itali cadang larang burqa dan niqab di sekolah

Giorgia Meloni mengumumkan cadangan larangan burqa dan niqab di sekolah Itali.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni mengumumkan cadangan melarang pemakaian burqa dan niqab di sekolah

Kerajaan Itali akan mengemukakan cadangan untuk melarang pemakaian burqa dan niqab di sekolah serta mengehadkan jumlah murid warga asing dalam setiap kelas.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni berkata, langkah berkenaan akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet bagi menetapkan had jumlah murid asing secara sah.

Cadangan itu turut merangkumi kewajipan mempelajari bahasa Itali bagi ibu bapa kepada murid warga asing yang menghadapi kesukaran serius untuk menyesuaikan diri dalam sistem persekolahan negara tersebut.

“Tidak lama lagi, satu langkah akan dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet untuk menetapkan secara sah jumlah maksimum murid asing bagi setiap kelas.

“Ia turut mewajibkan ibu bapa kepada murid asing yang menghadapi masalah serius menyesuaikan diri dalam sistem sekolah untuk mempelajari bahasa Itali, selain melarang burqa dan niqab di sekolah,” katanya.

Menurut Meloni, proses integrasi lebih mudah dilakukan sekiranya hanya sebilangan kecil murid dalam sesebuah kelas tidak memahami bahasa Itali kerana mereka boleh dibantu oleh guru serta rakan sekelas.

Bagaimanapun, katanya, keadaan menjadi sukar sekiranya jumlah murid yang tidak memahami bahasa Itali terlalu ramai atau membentuk majoriti dalam sesebuah kelas.

Baca juga:

Mengulas cadangan larangan burqa dan niqab, Meloni menegaskan bahawa murid perlu hadir ke sekolah dengan wajah tidak ditutup.

“Di Itali, tiada sesiapa atas nama tradisi sebenar atau yang didakwa sebagai tradisi boleh memutuskan bahawa seorang wanita muda mesti menyembunyikan dirinya,” katanya.

Meloni bagaimanapun tidak memperincikan jumlah maksimum murid warga asing yang akan dibenarkan dalam setiap kelas.

Menurut laporan Reuters, murid bukan warganegara Itali merangkumi kira-kira 11.6 peratus daripada keseluruhan murid yang berdaftar di sekolah negara itu.

Cadangan berkenaan masih belum berkuat kuasa dan perlu melalui proses kelulusan kerajaan serta Parlimen Itali sebelum boleh dilaksanakan sebagai undang-undang. Larangan itu juga merujuk kepada burqa dan niqab yang menutup wajah, bukan hijab yang membiarkan wajah terbuka.

Related Posts