Peniaga tau fu fah sumbang RM10,000 untuk tabung solidariti Najib Razak | The Reporter

Peniaga tau fu fah sumbang RM10,000 untuk tabung solidariti Najib Razak

Peniaga tau fu fah Sunny Coco menyumbang RM10,000 untuk Najib Razak
Peniaga tau fu fah, Sunny Coco menyumbang RM10,000 kepada tabung solidariti Najib Razak.

Pempengaruh dan usahawan tau fu fah, Seow Chau Pen atau lebih dikenali sebagai Sunny Coco, menyumbang RM10,000 kepada tabung solidariti Datuk Seri Najib Razak sebagai tanda membalas jasa atas bantuan yang menurutnya diterima daripada bekas Perdana Menteri itu kira-kira 14 tahun lalu.

Menerusi satu kenyataan, Sunnycoco mendakwa pernah menjalani tahanan di Manjung pada 2009 akibat kesalahan sendiri, sekali gus menyifatkan tempoh tersebut sebagai antara detik paling sukar dalam kehidupannya.

Menurutnya, pengalaman itu mendorong beliau bermuhasabah dan berazam untuk berubah serta menjaga kedua-dua ibu bapanya yang sudah lanjut usia sekiranya diberikan peluang pulang lebih awal.

Pada 2012, beliau mendakwa telah mengemukakan surat rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri dengan bantuan penghulu tempatan ketika Najib, yang ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri, menghadiri sebuah program di Manjung.

“Tidak lama kemudian, saya menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri yang memaklumkan bahawa tempoh tahanan saya ditamatkan lebih awal dan saya dibenarkan pulang.

“Bagi orang lain, ia mungkin sekadar sepucuk surat atau sedikit bantuan, tetapi bagi saya ketika itu, ia merupakan peluang untuk memulakan semula kehidupan,” katanya.

Selepas pulang ke pangkuan keluarga, Sunnycoco berkata, beliau mula menjual tau fu fah sebelum membangunkan perniagaan kecilnya secara berperingkat.

Baca juga:

Kini, selepas melihat Najib turut berpeluang menjalani baki hukumannya di rumah, beliau mengambil keputusan menyumbang RM10,000 sebagai membalas jasa dan bantuan yang didakwa pernah diterimanya.

Sunnycoco menjelaskan bahawa keuntungan bagi setiap mangkuk tau fu fah yang dijual adalah kira-kira RM1, menyebabkan beliau perlu menjual sekitar 10,000 mangkuk untuk mengumpulkan jumlah berkenaan.

“Saya bukan orang kaya dan tidak mempunyai kemampuan yang besar. Jadi, saya akan menjual 10,000 mangkuk, satu demi satu, dan menyimpan hasilnya sedikit demi sedikit.

“Dahulu, beliau pernah membantu saya pulang ke rumah. Hari ini, saya cuba membantunya mengikut kemampuan saya,” katanya.

Beliau menegaskan tindakannya tidak didorong oleh kepentingan politik atau bertujuan mengajak orang lain melakukan perkara sama, sebaliknya merupakan usaha peribadi untuk mengenang serta membalas jasa yang diterimanya suatu ketika dahulu.

Related Posts