Polis menafikan dakwaan tular kononnya sebuah kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) mengiringi kenderaan yang dipercayai membawa kabel curi di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, Sabtu lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dakwaan bahawa anggota polis bersekongkol dalam kegiatan berkenaan adalah tidak benar.
Menurut beliau, anggota MPV berkenaan digerakkan selepas menerima maklumat daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya susulan aduan orang ramai.
Beliau menjelaskan, lampu beacon pada kenderaan polis turut dipasang mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika anggota menjalankan tugas di lokasi kejadian.
Baca juga:
- Polis nafi dakwaan MPV ‘escort’ kenderaan bawa kabel curi di Ampang
- Lelaki maut dipercayai diserang harimau di Sungai Siput
- ‘Raja Penyu’ kembali ke negeri paling bahagia, bertelur 70 biji di Kuala Abang
Noor Hisam memaklumkan, polis telah mengambil tindakan terhadap kegiatan mencuri kabel berkenaan dengan seorang suspek ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah kediaman berhampiran lokasi kejadian tersebar di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi.
Rakaman itu turut menimbulkan dakwaan bahawa kenderaan polis berkenaan sedang mengiringi sebuah kenderaan yang dipercayai membawa kabel curi sebelum perkara tersebut dinafikan pihak berkuasa.









