Dua pelajar sekolah menengah maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Nyior Chabang, Langkawi, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 1.51 tengah hari. Kejadian melibatkan sebuah motosikal Yamaha Y15 dan tiga kereta.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari sekolah, dari arah Simpang Kenyum menuju ke Nyior Chabang.
“Motosikal berkenaan dipercayai memotong dua kereta yang bergerak sehala sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga:
- Lembaga Adat Luak Jelebu dakwa pelantikan Undang ke-17 tidak sah
- Pemandu BYD Seal mengaku tak bersalah atas tiga pertuduhan
- Tular SUV masuk landasan kereta api, KTMB tampil beri penjelasan
Kedua-dua pelajar disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan. Tiga pemandu kereta yang terlibat tidak mengalami kecederaan fizikal, namun dilaporkan trauma.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta saksi kejadian atau individu yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka di kawasan berkenaan tampil membantu siasatan.








