Wanita dilanggar dan digilis kereta, tiada seorang pun yang hulur bantuan - The Reporter

Wanita dilanggar dan digilis kereta, tiada seorang pun yang hulur bantuan

HENAN, CHINA – Seorang pejalan kaki wanita yang sedang cuba melintas jalan dilanggar dan digilis dua buah kenderaan, namun tiada sesiapa yang berhenti membantunya, lapor Shanghaiist. 

Dalam kejadian yang berlaku pada 21 April di Zhumadian, wilayah Henan itu, mangsa cuba melintas jalan di jalan raya yang sibuk, namun terhenti di tengah jalan sebelum dilanggar teksi. Mangsa terjatuh dan terbaring di jalan, kemudian ditinggalkan oleh teksi terbabit begitu sahaja.
Bertambah malang lagi apabila lebih dari 20 orang pejalan kaki dan pengguna jalan raya hanya melihat mangsa tanpa menghulurkan sebarang bantuan. 
Seketika kemudian, kelihatan mangsa mengangkat kepalanya. Beberapa buah kereta dilihat hampir saja melanggar mangsa, namun sempat mengelak ke lorong kanan. 
Tidak berapa lama selepas itu, sebuah kenderaan jenis SUV yang dipercayai tidak menyedari mangsa berada di jalan itu terus melanggar dan menggilis badan mangsa sehingga menyebabkan wanita itu berpusing beberapa kali. 
Pemandu wanita itu kemudian memberhentikan kenderaannya untuk memeriksa keadaan mangsa sebelum dihampiri seorang lelaki yang menghalang kereta yang lain dari terus melanggar mangsa. 
Sehingga ke saat itu, orang di sekeliling hanya mampu memerhatikan kejadian itu sahaja tanpa berbuat apa-apa. 
Tidak dapat dipastikan keadaan terkini mangsa. Namun polis telah menahan pemandu SUV terbabit untuk membantu siasatan. 





Sementara itu di media sosial, netizen di China berbalah sesama diri mengenai siapa yang patut dipersalahkan dalam kejadian itu. 
Ada segelintir berpendapat bahawa mangsa sebenarnya cuba membunuh diri atau cuba membuatkan dirinya terlibat dalam kemalangan agar ada individu yang datang menyelamatkannya. 
Dakwaan itu berdasarkan situasi dalam video yang menunjukkan mangsa mengangkat kepala melihat beberapa pejalan kaki yang berdiri di seberang jalan. 
Di China, masyarakatnya menjadi fobia untuk membantu mangsa-mangsa kemalangan kerana individu yang membantu mangsa akan dipertanggungjawab untuk membiayai segala kos rawatan perubatan mereka. 
Merujuk kepada kes 2006, Peng Yu, yang berasal dari Nanjing telah membantu seorang wanita tua untuk mendapatkan rawatan di hospital akibat terjatuh dari bas. Kes itu kemudian dibawa ke mahkamah dan hakim menetapkan Peng perlu bertanggungjawab ke atas mangsa. 
Semenjak dari kes itu, ramai individu yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan taktik yang sama untuk memerangkap golongan yang gemar membantu orang dalam kesusahan walaupun selepas enam tahun kemudian Peng sebenarnya telah menolak mangsa dari bas.




Sebagai contoh kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Yue Yue, yang dilanggar dan  dibiarkan cedera oleh lebih kurang 18 pejalan kaki yang tidak prihatin di Foshan pada tahun 2011. Sehinggalah mangsa diselamatkan oleh seorang tukang sapu yang menghubungi pihak ambulans.
Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia selepas lapan hari kemudian kerana kecederaan yang teruk. 
Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!