'PAS wajar diberi laluan terajui jawatan PM' - Isham Jalil | The Reporter

‘PAS wajar diberi laluan terajui jawatan PM’ – Isham Jalil

Bekas MKT UMNO, Isham Jalil menggesa parti-parti Melayu memberi laluan kepada PAS untuk menerajui kerajaan dan memegang jawatan Perdana Menteri.
Gambar: Facebook Isham Jalil

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berpandangan PAS wajar diberikan laluan untuk menerajui kerajaan dan memegang jawatan Perdana Menteri sekiranya usaha penyatuan parti-parti Melayu mahu direalisasikan pada masa hadapan.

Menurut beliau, perkembangan terbaru yang menyaksikan hubungan antara PAS dan Bersatu dilihat semakin renggang bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beliau telah menjangkakan perkara itu lebih awal dan pernah cuba memainkan peranan untuk mendamaikan kedua-dua parti tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pelbagai isu yang tidak dapat diterima oleh kedua-dua pihak menyebabkan perpisahan sementara mungkin menjadi langkah terbaik bagi meredakan ketegangan sebelum sebarang usaha penyatuan semula dapat dilakukan.

Dalam masa sama, Isham menyambut baik pendirian Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan hasrat untuk terus kekal dalam Perikatan Nasional (PN), sambil menyifatkan keputusan itu sebagai praktikal dan bijaksana.

Baca juga:
Sokongan orang Melayu

Beliau berpendapat Bersatu berdepan risiko kehilangan sokongan orang Melayu sekiranya memilih untuk bergerak secara bersendirian atau menyertai Pakatan Harapan (PH), selain perlu berdepan rundingan kerusi yang sukar bersama parti-parti komponen gabungan tersebut.

Mengulas mengenai agenda penyatuan parti Melayu, Isham berkata beliau sejak empat tahun lalu konsisten menggesa kerjasama antara UMNO, PAS dan Bersatu bagi membentuk blok politik Melayu yang lebih kukuh.

Menurutnya, gabungan tersebut berpotensi memenangi sekurang-kurangnya 120 kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu sekali gus membolehkan kerajaan dibentuk tanpa bergantung kepada parti-parti lain.

Namun, beliau mendakwa usaha tersebut tidak menjadi kenyataan apabila UMNO memilih untuk terus bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya telah nyatakan bahawa jika UMNO tinggalkan DAP dan berhenti menjadi UMDAP justeru bekerjasama dengan PAS dan Bersatu, maka kita bersama boleh menang sekurang-kurangnya 120 kerusi parlimen di kawasan-kawasan Melayu untuk membentuk kerajaan dan menghalau DAP dari memegang kuasa.

“Namun Presiden UMNO tetap memilih untuk bekerjasama dengan DAP dan menjadi UMDAP sehingga kini,” katanya.

Persaingan jadi Perdana Menteri

Isham turut berpandangan pertelingkahan dalam kalangan parti Melayu ketika ini berpunca daripada persaingan untuk menentukan siapa yang layak menjadi Perdana Menteri, sekali gus menyukarkan usaha mencapai kesepakatan politik.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar parti-parti Melayu mengetepikan kepentingan individu dan memberi peluang kepada PAS untuk mengetuai kerajaan memandangkan parti itu merupakan parti terbesar di negara ini serta belum pernah memegang jawatan Perdana Menteri.

Beliau juga berpendapat PAS mempunyai rekod yang lebih baik dari segi integriti berbanding beberapa parti politik utama lain yang pernah berdepan pelbagai dakwaan dan kes berkaitan rasuah serta salah guna kuasa.

Menurutnya, jika penyatuan gagal dicapai kerana perebutan kuasa, PAS berkemungkinan akan meneruskan perjuangannya secara bersendirian seperti yang dilakukan sebelum ini.

Related Posts