Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Bagi mengelakkan Dr. Siti Mastura Muhammad hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas dan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang memakan kos tinggi, PAS akan membantu beliau melunaskan saman fitnah terhadap tiga pemimpin DAP.
Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, berkata pihaknya sedang menunggu keputusan permohonan pengurangan dan penangguhan bayaran saman tersebut.
Menurut beliau, kegagalan membayar denda boleh membawa kepada notis kebankrapan terhadap Siti Mastura, sekali gus menyebabkan kekosongan kerusi parlimen dan PRK perlu diadakan.
“Rayuan untuk pengurangan dan penangguhan bayaran telah dibuat, dan kami sedang menunggu keputusan. Jika tidak bayar, notis kebankrapan akan diproses, dan jika bankrap, kelayakan sebagai Ahli Parlimen akan hilang. Maka, PRK terpaksa diadakan,” katanya ketika dihubungi.
Fawwaz menjelaskan, keputusan membantu membayar denda adalah langkah lebih praktikal untuk mengelakkan PRK yang dianggap membawa kesan lebih besar kepada semua pihak, termasuk dari segi masa dan kos.
Beliau turut memaklumkan kutipan dana bagi membantu Siti Mastura hanya melibatkan ahli PAS.
“Kutipan ini tidak melibatkan rakyat kerana ia adalah tanggungjawab parti. Kita mahu elak PRK yang memerlukan pengorbanan besar daripada semua ahli parti,” ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Georgetown memerintahkan Siti Mastura membayar ganti rugi RM825,000 kepada Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Teresa Kok selepas mendapati kenyataan yang mengaitkan mereka dengan komunis adalah fitnah dan tidak berasas.
Sekiranya gagal melunaskan bayaran, ketiga-tiga plaintif boleh memfailkan notis kebankrapan terhadap Siti Mastura.
Sumber: Harian Metro