Naz Rahman, Sissy Iman berjaya hos AJL39 tanpa 'lawak bodoh' | The Reporter

Naz Rahman, Sissy Iman berjaya hos AJL39 tanpa ‘lawak bodoh’

Naz Rahman & Sissy Iman mengacarakan AJL39 dengan cemerlang, netizen puji tanpa lawak murahan.
Naz Rahman, Sissy Imann | Foto : Kosmo Online

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang berlangsung pada malam Ahad lalu mendapat perhatian ramai bukan sahaja kerana persembahan hebat para finalis, tetapi juga kerana pemilihan pengacara, Naz Rahman dan Sissy Iman, yang berjaya mengendalikan acara dengan penuh profesionalisme.

Sejak awal, gandingan mereka mencetuskan perbincangan, dengan ada yang skeptikal tentang kemampuan mereka sebagai hos. Namun, selepas AJL39 melabuhkan tirai, ramai bersetuju bahawa mereka telah menjalankan tugas dengan baik, malah ada yang menganggap ini antara penganjuran terbaik dalam sejarah AJL.

Tiada lawak berlebihan, lebih berprestij

Netizen memuji AJL39 kerana berjaya mengekalkan suasana yang lebih berprotokol tanpa unsur lawak keterlaluan yang selama ini sering dikritik. Ada yang menyatakan pemilihan hos kali ini mengembalikan ‘class’ kepada acara berprestij tersebut, tidak lagi sekadar menjadikan peserta atau individu lain sebagai bahan lawak.

Karl Shafek, seorang pengacara, turut memberikan sokongan kepada Naz dan Sissy, menyatakan bahawa pemilihan mereka adalah langkah tepat untuk mengendalikan acara sebesar AJL.

“Dah lama kita sumbat otak penonton dengan lawak bodoh dalam acara grand begini. AJL39 kali ni paling best dari segi penyampaian dan informasi,” katanya.

Sissy Iman dianggap pilihan tepat

Selain kehadiran Naz yang sememangnya berpengalaman dalam bidang pengacaraan, ramai bersetuju Sissy Iman adalah pelengkap yang sempurna. Berkelulusan dalam bidang muzik dan mempunyai pengetahuan luas, kehadiran Sissy memberi keseimbangan dalam penyampaian maklumat berkaitan muzik kepada penonton.

Malah, ada yang mengimbau kembali zaman Cheryl Samad sebagai hos AJL, yang juga dikenali kerana gaya pengacaraan yang elegan dan penuh informasi. Kehadiran Sissy dikatakan membawa kembali aura tersebut.

Naz Rahman pegang janji, tiada lawak murahan

Sebelum AJL39 berlangsung, Naz Rahman pernah berjanji tidak akan menggunakan isu individu lain sebagai bahan jenaka sepanjang siaran langsung. Beliau menegaskan, lawak yang dibuat perlu berkualiti dan bukan sekadar mempermainkan orang lain.

Janji itu nyata ditepati, dan hasilnya, ramai penonton berpuas hati dengan cara pengacaraan yang lebih matang. Naz sendiri mengakui bekerja dengan Sissy adalah satu pengalaman menarik kerana beliau seorang yang pintar dan mempunyai ilmu muzik yang tinggi.

AJL39 kembali ke landasan betul?

Sebelum ini, AJL sering dikritik kerana terlalu banyak elemen hiburan yang dikatakan kurang sesuai dengan acara yang berprestij. Namun, dengan barisan hos yang lebih berkualiti tahun ini, ramai percaya bahawa AJL sedang kembali ke landasan yang betul.

Walaupun masih ada segelintir yang kurang berpuas hati, majoriti netizen bersetuju bahawa penganjuran kali ini berjaya memberikan satu standard baru dalam industri hiburan.

Related Posts