Dua pegawai bomba antara 55 rakyat Malaysia belum dapat dihubungi susulan banjir Nepal | The Reporter

Dua pegawai bomba antara 55 rakyat Malaysia belum dapat dihubungi susulan banjir Nepal

Dua pegawai JBPM antara rakyat Malaysia yang belum dapat dihubungi susulan banjir Nepal
Gambar 10 rakyat Malaysia yang dikongsikan oleh Azrul Zabani menerusi Facebook.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan dua pegawainya antara 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan kejadian banjir besar di Sungai Bhote Koshi, di sempadan Nepal-China.

Dua pegawai berkenaan ialah PPjB Mohd Sani bin Harul, Ketua Cawangan Kajian Operasi Pemadaman Kebakaran, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, JBPM serta PBK II Mohd Fakhrul Munir bin Mohd Isa, Pegawai Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah.

Menurut JBPM, kedua-dua pegawai terbabit merupakan sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia yang sedang dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC).

Kumpulan berkenaan dilaporkan mula bertolak ke Nepal pada malam Isnin lalu bagi perjalanan menuju destinasi tersebut.

Baca juga:

Bagaimanapun, perkembangan mengenai keadaan mereka masih belum dapat dipastikan susulan kejadian banjir besar yang melanda kawasan Sungai Bhote Koshi.

JBPM memaklumkan pihaknya kini masih menunggu perkembangan terkini berhubung operasi pencarian semua rakyat Malaysia yang belum dapat dihubungi daripada kementerian berkaitan.

Sehubungan itu, JBPM menyeru semua pihak agar bersama-sama mendoakan keselamatan kesemua rakyat Malaysia yang dilaporkan berada di lokasi bencana tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Rekreasi Malaysia, Muhamad Nur Azrul Che Zabani, turut berkongsikan perkembangan terkini serta maklumat mengenai 10 rakyat Malaysia yang merupakan anggota Team Loe di media sosial.

Related Posts