PKR Kedah gesa Sanusi berhenti salahkan Anwar dalam isu lesen judi | The Reporter

PKR Kedah gesa Sanusi berhenti salahkan Anwar dalam isu lesen judi

Tunku Nashrul Abaidah mengulas kenyataan Muhammad Sanusi berkaitan isu lesen premis perjudian
Tunku Nashrul Abaidah mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu lesen premis perjudian.

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya berhenti menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu lesen premis perjudian di negeri itu.

Pengarah Komunikasi MPN Keadilan Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, tindakan mengaitkan Perdana Menteri dengan keputusan mahkamah berhubung isu berkenaan adalah tidak berasas kerana kes itu diputuskan secara bebas oleh badan kehakiman.

Menurutnya, kerajaan negeri Kedah sebelum ini mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen premis perjudian, namun tindakan berkenaan dicabar oleh pihak pengendali di mahkamah.

Beliau berkata, keputusan mahkamah kemudiannya mendapati tindakan pentadbiran kerajaan negeri berhubung perkara itu melangkaui bidang kuasa negeri, manakala permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu turut ditolak Mahkamah Persekutuan.

“Kes ini berpunca daripada keputusan pentadbiran Sanusi, dicabar oleh pihak pengendali dan diputuskan secara bebas oleh badan kehakiman. Perdana Menteri tidak terlibat dalam menentukan keputusan mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tunku Nashrul turut mengingatkan bahawa Malaysia mengamalkan pemisahan kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman. Justeru, katanya, kekalahan kerajaan negeri dalam tindakan undang-undang tersebut tidak wajar dipindahkan kesalahannya kepada Perdana Menteri.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu kekerapan cabutan khas perjudian ketika PAS berada dalam kerajaan Perikatan Nasional. Menurutnya, jumlah cabutan khas ketika itu meningkat daripada lapan kepada 22 kali setahun, sebelum dikurangkan kembali kepada lapan kali setahun ketika Anwar menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Tunku Nashrul berkata, Sanusi sepatutnya menjelaskan kekalahan pentadbiran kerajaan negeri itu secara berfakta dan tidak menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran politik.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada ucapan Sanusi di Alor Setar pada Selasa lalu ketika beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan usaha kerajaan Kedah menghalang pengeluaran serta pembaharuan lesen premis perjudian.

Baca juga:

Sanusi sebelum ini berkata, kerajaan negeri telah melakukan segala yang termampu untuk menghalang aktiviti perjudian menerusi dasar tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri sejak 2023.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu menyebabkan tanggungjawab berkaitan pelesenan perjudian kembali kepada Kementerian Kewangan.

Menurut Sanusi, pihak berkuasa tempatan hanya mengeluarkan lesen premis selepas pengusaha memperoleh kelulusan untuk menjalankan aktiviti berkenaan daripada Kementerian Kewangan. Beliau menyifatkan keputusan mengenai perkara itu kini berada di tangan Menteri Kewangan.

Dalam ucapan berkenaan, Sanusi turut memberi amaran kepada Anwar bahawa beliau akan berdepan kemarahan rakyat Kedah sekiranya aktiviti perjudian dibenarkan disambung semula di negeri itu, selain menggunakan kata-kata kesat ketika mengulas perkara tersebut.

Sebelum ini, Sanusi turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan akan mendapatkan pandangan peguam mengenai implikasi keputusan itu serta ruang tindakan yang masih dibenarkan undang-undang.

Related Posts