Bekas peserta progam realiti dipenjara 10 hari, gagal bayar RM108,200 | The Reporter

Bekas peserta progam realiti dipenjara 10 hari, gagal bayar RM108,200

Bekas peserta program realiti dipenjara 10 hari selepas gagal membayar RM108,200
Gambar janaan AI

Seorang bekas peserta program realiti nyanyian dan komedi tempatan diperintah menjalani hukuman penjara selama 10 hari oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling, bermula semalam selepas gagal mematuhi perintah mahkamah membabitkan bayaran RM108,200.

Memetik laporan Berita Harian, perintah itu dibuat Hakim Syarie, Mohd Saifullah Hamzah, dalam prosiding pengkomital selepas Penghutang Penghakiman gagal menjelaskan jumlah berkenaan seperti yang diperintahkan mahkamah, masing-masing selewat-lewatnya pada September dan Oktober 2025.

Peguam Syarie yang mewakili Pemiutang Penghakiman, Nurul Hanan Jasmin daripada Tetuan NAI Hanan & Partners, berkata jumlah RM108,200 itu membabitkan dua penghakiman terdahulu berhubung tuntutan mutaah dan hutang dalam perkahwinan yang difailkan bekas isteri.

Menurutnya, tiada sebarang bayaran dibuat sehingga hari ini menyebabkan Pemiutang Penghakiman mengambil tindakan melalui prosiding pengkomital berikutan kegagalan mematuhi perintah mahkamah.

Katanya, Penghutang Penghakiman hadir sepanjang prosiding dan diberikan peluang mengemukakan alasan melalui Notis Tunjuk Sebab bagi menjelaskan mengapa hukuman pemenjaraan tidak wajar dikenakan. Bagaimanapun, selepas meneliti alasan dan keseluruhan keadaan kes, mahkamah berpandangan penjelasan berkenaan tidak memadai.

Baca juga:

Susulan itu, mahkamah memerintahkan beliau menjalani hukuman penjara selama 10 hari bermula hari ini. Hakim Syarie turut menasihatinya supaya menggunakan kedudukannya sebagai individu yang dikenali ramai untuk menjadi contoh kepada masyarakat, khususnya dalam soal menghormati serta mematuhi perintah mahkamah.

Nurul Hanan berkata, hukuman penjara itu tidak menghapuskan kewajipan untuk melunaskan RM108,200 berkenaan selepas selesai menjalani hukuman.

Dalam perkongsian di Thread, Nurul Hanan juga menegaskan, kepentingan mematuhi perintah mahkamah dan sekiranya ketidakpatuhan berterusan, tindakan penguatkuasaan selanjutnya yang dibenarkan undang-undang boleh dipertimbangkan.

Related Posts