Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengambil tindakan segera selepas seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar, Bera, Pahang, memaklumkan mengenai keadaan laluan titi yang digunakan murid untuk ke sekolah setiap pagi.
Perkara itu bermula selepas Fadhlina menerusi hantaran di media sosial memperkenalkan segmen ‘Fadhlina Buat Apa?’ bagi berkongsi pencapaian dan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang pentadbiran Kerajaan MADANI.
Hantaran tersebut kemudian mendapat respons seorang guru dari SK Iskandar yang berkongsi keadaan laluan murid di kawasan pedalaman berkenaan.
Guru itu menjelaskan, laluan titi tersebut digunakan anak murid setiap pagi, selain memaklumkan pihak sekolah sebelum ini sudah berusaha membina titi berkenaan meskipun keadaannya agak daif.
Menurutnya, KPM juga telah menyediakan bantuan bot dan enjin untuk kegunaan pelajar yang tinggal di seberang tasik.
Namun, apabila paras air surut, bot tidak dapat bergerak sehingga ke tebing menyebabkan laluan titi tetap diperlukan bagi memudahkan pergerakan murid.

Baca juga:
- Akmal Saleh berjaya kumpul RM180,000 hasil jual motosikal, ikan
- ‘Kalau kita bagi subsidi, kita mengajar rakyat malas’ – MP Pasir Puteh
- Rafizi arah peguam mulakan proses saman terhadap Ramanan
Guru berkenaan turut menjelaskan bahawa perkongsian itu bukan bertujuan mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya berharap Fadhlina dapat membantu menyediakan bahan untuk membaik pulih dan menaik taraf laluan tersebut.
Malah, katanya, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang turut baru-baru ini melakukan lawatan ke sekolah berkenaan bagi melihat keadaan di kawasan pedalaman itu.
Menjawab perkongsian tersebut, Fadhlina berkata beliau telah membuat semakan dengan pihak JPN Pahang berhubung keperluan laluan berkenaan.
“Hasil semakan tersebut, kos bagi laluan ini adalah sebanyak RM150,000 untuk modul Jetfloat.
“Lulus, ya cikgu. Saya telah meminta pihak JPN untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.
Fadhlina berharap usaha itu dapat memudahkan urusan guru serta memberikan manfaat dan keselesaan kepada anak-anak yang menggunakan laluan tersebut untuk ke sekolah.








