Penyanyi rap dan pempengaruh, Caprice menegaskan keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM200,000 serta memohon maaf kepada pendakwah Ebit Lew tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan membela pihak yang didakwa teraniaya.
Menerusi satu kenyataan di media sosial, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkata, kewujudan beberapa peringkat mahkamah termasuk Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan memberi ruang kepada sesuatu kes untuk dikaji semula melalui proses perundangan yang tersedia.
“Results semalam sebenarnya buat pihak kami lagi semangat untuk kembali fokus dekat kes-kes macam ni supaya tidak tenggelam di mata masyarakat,” katanya.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam memutuskan Caprice bertanggungjawab terhadap tujuh kenyataan berbaur fitnah yang diterbitkan menerusi podcast dan klip video berkaitan Ebit Lew.
Hakim Zuhrina Mohamed Nor memerintahkan Caprice membayar ganti rugi keseluruhan RM200,000, merangkumi RM50,000 ganti rugi am, RM50,000 ganti rugi teladan, RM50,000 ganti rugi pampasan dan RM50,000 ganti rugi teruk. Beliau turut diperintah membayar kos RM20,000 kepada Ebit Lew.
Selain bayaran berkenaan, Caprice diarahkan membuat permohonan maaf kepada Ebit Lew dan menyiarkannya di mana-mana laman media sosial di bawah kawalan atau pengawasannya dalam tempoh 48 jam selepas perintah mahkamah dimeterai.
Mengulas mengenai kritikan yang diterimanya selepas keputusan itu, Caprice berkata beliau tidak bimbang mengenai keperluan membayar ganti rugi atau mendapatkan pekerjaan bagi meneruskan kehidupan.
“Ramai perli kita pasal permohonan maaf dan RM200k yang kena ganti rugi. Insya-Allah Cap tak ada masalah cari kerja atau duit. Rezeki masing-masing,” katanya.
Baca juga:
- Caprice akui perjuangan kes Ebit Lew belum berakhir, sedia tempuh tiga tahun lagi
- Bekas peserta progam realiti dipenjara 10 hari, gagal bayar RM108,200
- Jururawat dedah Azhan Rani konsisten derma darah setiap dua minggu
Pada masa sama, Caprice menegaskan pendiriannya untuk terus membantu individu yang tampil mendapatkan bantuan atau mahu sesuatu isu diketengahkan kepada masyarakat.
Menurutnya, perjuangan tersebut bukan dilakukan atas kepentingan keuntungan, sebaliknya didorong matlamat untuk memastikan individu yang dianggap dianiaya mendapat pembelaan.
Caprice turut mengaitkan pendiriannya itu dengan kes melibatkan pendakwah bebas, Pu Azman, yang menurutnya mengambil masa kira-kira lima tahun sebelum perkara tersebut dibuktikan melalui proses undang-undang. Beliau berkata tempoh berkenaan menyaksikan pihaknya menerima pelbagai kecaman kerana membantu mangsa-mangsa dalam kes itu.
“Tak kisah ambil masa lagi tiga tahun untuk buktikan Ebit Lew. The fight continues,” katanya.
Caprice bagaimanapun menegaskan keputusan dalam saman fitnah tersebut tidak akan menyebabkan beliau berhenti mengetengahkan kes-kes yang menurutnya memerlukan perhatian masyarakat, sambil menyatakan perjuangan berkenaan akan diteruskan melalui saluran undang-undang yang tersedia.









