Pelakon Izzue Islam meraih pujian ramai selepas satu babak dalam drama Suamiku Anak Mak tular di media sosial apabila dia dilihat bijak menggunakan sudut kamera bagi mengelakkan sentuhan fizikal dengan pelakon wanita.
Menerusi video tular itu, Izzue dilihat seolah-olah bersalaman dengan pelakon veteran, Dian P. Ramlee yang memegang watak ibunya dalam drama berkenaan.
Bagaimanapun, babak tersebut dipercayai hanya menggunakan teknik sudut kamera atau camera angle sehingga kelihatan seperti mereka benar-benar bersalaman.
Tindakan Izzue itu mendapat perhatian netizen yang memuji caranya menjaga batas pergaulan dengan pelakon wanita meskipun sedang menjayakan babak lakonan.
Malah, pelakon Riena Diana turut tampil berkongsi pengalaman bekerja dengan Izzue dan mengakui aktor berkenaan sentiasa menjaga batas sepanjang mereka menjalani penggambaran bersama.
Menurut Riena, sepanjang beberapa kali bergandingan dengan Izzue, pelakon lelaki itu tidak pernah melakukan sentuhan fizikal dengannya, sebaliknya hanya menggunakan teknik sudut kamera bagi menjayakan sesuatu babak.
“Dah beberapa kali shoot dengan Izzue, sememangnya tidak pernah sentuh Riena dan hanya main angle camera sahaja.
“Salah seorang hero yang Riena respect dan selesa untuk bekerja,” katanya.
Dalam pada itu, Riena turut menyifatkan Izzue sebagai seorang lelaki yang memiliki keperibadian baik, bukan sahaja ketika bekerja malah dalam kehidupan sebenar.
Perkongsian tersebut sekali gus mengundang reaksi positif dalam kalangan netizen yang menyifatkan Izzue sebagai contoh pelakon profesional kerana mampu memberikan lakonan meyakinkan tanpa perlu melakukan sentuhan fizikal dengan pelakon bukan mahram.








