Kecuaian pemandu trak polis dikenal pasti menjadi punca kemalangan maut di Jalan Persiaran Wawasan, Kangar, Perlis malam tadi, yang mengorbankan seorang penunggang motosikal dan mencederakan seorang lagi.
Kejadian berlaku sekitar jam 10.20 malam ketika trak peronda dipandu seorang anggota polis sedang melakukan rondaan sebelum bertembung dengan dua motosikal dari arah bertentangan.
Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu trak berkenaan.
Baca juga:
- ‘Emcee hebat tahu jaga maruah’ – Pengasas Bawal Exclusive puji Fedtri Yahya
- Sayu anak kecil ketuk keranda, cari ibu yang meninggal dunia akibat kanser
- Anggota Maritim Malaysia maut ketika operasi kawalan sempadan
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berusia 24 tahun maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi, 25 tahun, cedera parah,” katanya.
Beliau memaklumkan, anggota polis terbabit telah ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
Polis gesa orang ramai tidak buat spekulasi
Yusharifuddin turut menyeru saksi kejadian tampil memberikan maklumat dan menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan video atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Beberapa rakaman tular di media sosial menunjukkan motosikal dan mangsa terbaring di jalan raya selepas dilanggar trak polis berkenaan.
Sumber: Free Malaysia Today











