Pempengaruh sensasi, Hafiz Mahamad, memaklum beliau tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tanggungjawab ke atas video lamanya yang didakwa telah mendatangkan fitnah terhadap agama Islam.
Menerusi kenyataannya di Instastory, usahawan itu kini sedang menyiapkan penjelasannya dan merujuk dengan pakar agar kenyataan yang bakal dikeluarkan selepas ini tidak menimbulkan sebarang masalah.
“Saya dah siapkan input dan akan semak dengan pakar sebelum saya bentangkan. Ini bukan untuk bersihkan nama saya, tetapi lebih kepada memperbetulkan kenyataan atau persepsi.
“Hamba Allah yang lemah ini layak dihina dan dikutuk. Tapi dengan izin Allah, saya takkan lari dari usaha menjadi hamba yang baik dan ‘bertanggungjawab‘ supaya terus dipandang di sisi Tuhan.
“Apa-apa kelemahan adalah dari saya, bukan keluarga atau pasukan saya. Harap ia berjaya dengan izin Allah. Doakan saya,” katanya.
Minggu lalu, Hafiz dikecam teruk di media sosial ekoran video lama yang menunjukkan dirinya bergasak di Kaabah demi mendapatkan ruang untuk pekerja wanita mencium Hajar Aswad, telah menimbulkan fitnah terhadap agama.
Walaupun beliau telah menjelaskan video tersebut bukan konten, namun ada pengguna X memuat naik semula video itu dengan kapsyen yang mengundang, “Wanita hadapi gangguan melampau di tanah suci, Mekah. Adakah anda fikir Masjid dan Madrasah tempat yang selamat untuk wanita?” – Hindutva Knight.